WILAYAH - TENGAH > BERITA

WARGA BANGLADESH GAGAL RAYU RM723,000 DIRAMPAS

12/02/2026 08:00 PM

 

PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Seorang warga Bangladesh gagal dalam rayuannya untuk mendapatkan semula RM723,000 yang dirampas dalam satu serbuan, selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan perintah sitaan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Azmi Ariffin, bersama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, hari ini membatalkan rayuan Salman Ahmad Chowdhury terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Sesyen yang menyita wang berkenaan, yang kemudiannya dipulangkan kepada kerajaan.

Dalam penghakiman sebulat suara, Hakim Hayatul Akmal berkata Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf ketika mengeluarkan perintah penyitaan dan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menolak semakan itu adalah teratur.

Beliau berkata terdapat kaitan antara wang yang dirampas dengan kesalahan yang dilakukan, selain peguam Salman sendiri mengakui bahawa mereka tidak mengetahui siapa pemilik wang berkenaan.

“Kami juga mengambil kira bahawa permohonan semakan itu difailkan lebih setahun selepas perintah dikeluarkan, yang mana tidak wajar diberi pertimbangan,” katanya.

Mengikut fakta kes, Salman, 32, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen kerana melanggar syarat pas lawatan kerja sementara. Walaupun dibenarkan bekerja sebagai pembersih di sebuah syarikat, beliau didapati bekerja di tempat lain.

Dia didenda RM400, dan mahkamah juga memerintahkan tertuduh diusir pulang ke negara asal.

Bagaimanapun, beliau tidak membuat rayuan terhadap perintah tersebut sebelum diusir.

Dalam satu serbuan pada 17 Jan 2024, pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen menemui bahawa Salman memiliki beberapa pasport asing dan turut menjumpai wang tunai RM723,000 yang disimpan dalam peti simpanan keselamatan.

Salman bersama tiga individu lain ditahan selepas itu.

Bekas majikannya Agensi Pekerjaan Insight Alliance Sdn Bhd turut didenda RM10,000 kerana menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah dan tidak membuat rayuan terhadap sabitan tersebut.

Bagaimanapun, pada 6 Mei 2025, Salman memohon Mahkamah Tinggi menggunakan kuasa semakan bagi menyemak keputusan mahkamah rendah yang menyita wang itu.

Mahkamah Tinggi, pada 19 Mei 2025, menolak permohonan tersebut, lalu beliau mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Dalam prosiding di Mahkamah Rayuan, Salman diwakili peguam Atiqa Nazihah Azmi dan Nur Khairunnisa Sabirah Abdul Manan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Aizuddin Masrom mewakili pihak pendakwaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan