MELAKA, 12 Feb (Bernama) -- Seorang pemandu e-panggilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki pisau tanpa kebenaran sah dan menakutkan seorang gadis Sabtu lepas.
Lim Toh Seng, 50, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Bagi pertuduhan pertama, Lim dituduh memiliki sebilah pisau tanpa kebenaran yang sah di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh dengan sengaja mendatangkan ketakutan kepada seorang gadis berusia 21 tahun dengan mengejar mangsa sambil membawa pisau, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Lim dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di tempat meletak kenderaan sebuah pasar raya di sini, kira-kira 9.30 malam pada 7 Feb.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abd Rahman Sidik menawarkan jaminan RM30,000 bagi pertuduhan pertama dan RM10,000 bagi pertuduhan kedua berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.
Peguam Ishak Mohd Kari merayu agar jaminan dikurangkan kerana anak guamnya adalah seorang bapa tunggal yang menjaga anak berusia 11 tahun dan kehilangan RM10,000 selepas mendakwa ditipu seseorang sebelum ini.
Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 bagi pertuduhan pertama dan RM3,000 bagi pertuduhan kedua dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan serta membenarkan syarat tambahan dikemukakan Mohd Asri.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Mac depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial