PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- My Creative Ventures (MyCreative) buat julung kalinya akan membawa beberapa usahawan tempatan ke Indonesia dan Singapura tahun ini untuk mengetengahkan hasil kerja seni dan kreativiti mereka.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh sokongan terhadap industri kreatif yang dilihat bakal memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara.
“Sukacita saya umumkan insya-Allah pada tahun ini buat kali pertama MyCreative akan membawa beberapa usahawan tempatan yang selama ini telah kita peragakan dalam siri Riuh yang akan kita bawa ke dua negara ASEAN iaitu Indonesia dan Singapura.
“Jadi insya-Allah kita akan memberi sokongan padu kepada MyCreative kerana kita lihat industri kreatif bakal memainkan peranan sangat penting dalam pembangunan ekonomi negara kita,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Menjelaskan perkara itu kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Fahmi berkata penentuan tarikh untuk ke negara berkenaan akan diserahkan kepada pihak MyCreative.
Fahmi berkata beberapa filem tempatan sebelum ini berjaya di pasaran luar negara seperti filem Papa Zola yang telah menembusi bioskop di Indonesia.
Beliau berkata menerusi usaha itu, Kementerian Komunikasi akan menekankan usaha melahirkan lebih ramai penerbit serta pihak yang berupaya membantu industri kreatif tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, usaha itu juga bukan hanya terhad kepada MyCreative atau Kementerian Komunikasi semata-mata, sebaliknya melibatkan agensi lain termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang sememangnya mahir mengenai selok-belok industri kreatif dan filem.
Mengulas cabaran eksport produk kreatif, Fahmi berkata tidak semua produk tempatan mudah untuk dibawa ke pasaran antarabangsa, khususnya dalam sektor fesyen serta makanan dan minuman (F&B).
“Banyak daripada produk yang dihasilkan terutama dalam fesyen dan F&B tidak begitu mudah untuk dieksport. Jadi kita perlu lebih banyak usaha bantu untuk membawa bahan-bahan kreatif mereka ke peringkat antarabangsa,” katanya.
MyCreative ialah sebuah syarikat pelaburan milik kerajaan khusus untuk meningkatkan industri kreatif tempatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial