WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HAMPIR 90 PERATUS BANGUNAN SEKOLAH DI GAZA ROSAK ATAU MUSNAH AKIBAT PERANG ISRAEL - UNRWA

13/02/2026 12:05 AM

ISTANBUL, 12 Feb (Bernama-Anadolu) -- Hampir 90 peratus bangunan sekolah di seluruh Semenanjung Gaza mengalami kerosakan atau musnah semasa perang Israel selama dua tahun di kawasan enklaf itu, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan Agensi Bantuan dan Kerja  Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Khamis.

Dalam satu hantaran di laman X, agensi itu memaklumkan bahawa sekolah-sekolah yang masih terselamat sebahagian besarnya telah ditukar menjadi pusat perlindungan, menyebabkan kanak-kanak terpaksa menerima pendidikan di ruang pembelajaran sementara atau melalui platform digital.

"Di seluruh Gaza, hampir 90 peratus daripada semua bangunan sekolah rosak atau musnah semasa perang," kata agensi itu sambil menambah bahawa pasukannya terus memberikan sokongan pembelajaran meskipun dalam keadaan kemusnahan yang meluas.

Sekurang-kurangnya 591 rakyat Palestin maut dan lebih 1,578 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Perang Israel ke atas Gaza, yang bermula pada  Oktober 2023 dan berlarutan selama dua tahun, telah mengorbankan lebih 72,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 171,000 yang lain - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - serta memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam di Gaza.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan