WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MHS SEDIA BEKERJASAMA TANGANI ISU RUMAH IBADAT SECARA MUAFAKAT, KEHARMONIAN TERAS NEGARA

12/02/2026 09:35 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Penegasan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada mana-mana pihak berhak mengambil tindakan sendiri di luar kerangka undang-undang dalam isu berkaitan rumah ibadat, menjadi isyarat jelas bahawa kestabilan serta keharmonian negara tidak boleh dikompromi.

Peringatan itu yang hadir pada saat polemik pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran kembali mencetuskan perdebatan awam dalam pelbagai platform, mencerminkan keutamaan kerajaan untuk memastikan masyarakat majmuk di negara ini terus hidup dalam suasana aman dan saling menghormati.

Sedia bekerjasama menangani isu tersebut secara bermuafakat, Naib Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS) Datuk RS. Mohan Shan berkata pendekatan dialog dan perbincangan konstruktif antara kerajaan negeri, agensi berkaitan serta wakil komuniti agama ialah kunci dalam memastikan isu rumah ibadat tanpa kebenaran dapat ditangani sebaik-baiknya.

Mohan, yang juga Naib Presiden Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST), berkata pihaknya mempunyai rekod serta bancian kuil di seluruh negara dan bersedia berkongsi maklumat berkenaan bagi membantu kerajaan mendapatkan gambaran sebenar keadaan di lapangan.

"Isu ini bukan isu baharu. Banyak kuil sudah lama wujud di kawasan ladang dengan persetujuan pemilik tanah ketika itu. Apabila tanah dijual atau dibangunkan, barulah timbul pertikaian. Jadi, kita kena cari penyelesaian yang adil dan tidak mendengar satu pihak sahaja.

"Kita bukannya tidak mahu berbincang atau tidak mahu berpindah jika ada pembangunan, tetapi perlu ada rundingan yang telus dan adil. Jika sesuatu tapak memang perlu dikosongkan, bincanglah lokasi alternatif dan cara terbaik untuk memindahkan kuil berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin berkata isu berkaitan rumah ibadat tidak boleh dipisahkan daripada kerangka Perlembagaan dan struktur federalisme negara, memandangkan hal ehwal agama serta tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Agama dan tanah ialah hak negeri. Kita negara Persekutuan. Jadi, kerajaan negeri mempunyai peranan utama, termasuk melalui Exco, majlis agama Islam dan jawatankuasa hal ehwal bukan Islam pada peringkat negeri.

“Pendekatan lebih bersepadu perlu digerakkan dengan melibatkan kepimpinan negeri dalam memberikan penerangan kepada rakyat, khususnya mengenai prosedur serta kedudukan sebenar sesuatu rumah ibadat dari sudut undang-undang dan pentadbiran tanah,” katanya. 

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan melibatkan badan bukan kerajaan yang mewakili komuniti MHS dalam sebarang perbincangan berkaitan isu berkenaan kerana pertubuhan sedemikian dapat menjelaskan kedudukan sebenar isu, selain membantu meredakan ketegangan. 

“Kalau kerajaan mahu melibatkan diri dalam soal ini, mesti berbincang dengan Malaysia Hindu Sangam kerana badan itu mengelolakan hal ehwal komuniti Hindu di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan