WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEKTOR HARTANAH DIJANGKA REKOD PENINGKATAN TIDAK KETARA PADA 2026 - MBSB INVESTMENT BANK

13/02/2026 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Sektor hartanah Malaysia dijangka merekodkan peningkatan tidak ketara dari segi minat pembelian pada tahun ini, walaupun terdapat  asas yang tinggi pada 2025, disokong oleh prospek yang kekal positif serta asas permintaan yang kukuh, menurut MBSB Investment Bank.

Dalam nota penyelidikan, bank pelaburan itu memaklumkan permohonan pinjaman pada 2025 kekal kukuh, susulan pertumbuhan pinjaman sebanyak 4.9 peratus pada 2024 dan 5.7 peratus pada 2023, sekali gus mencerminkan pemulihan berterusan serta minat pembelian hartanah yang berdaya tahan.

“Data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan jumlah permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah meningkat bagi bulan kelima berturut-turut pada Disember 2025, naik 6.9 peratus tahun ke tahun kepada RM50.3 bilion,” menurut bank pelaburan itu.

Bagaimanapun, permohonan pinjaman pada Disember susut sembilan peratus berbanding November, berikutan faktor bermusim sempena cuti akhir tahun, menurut MBSB IB.

Secara kumulatif, jumlah keseluruhan permohonan pinjaman pada 2025 berakhir dengan pertumbuhan stabil sebanyak 3.4 peratus tahun ke tahun.

Bagi saham hartanah, Maybank Investment Bank Bhd berpandangan 2026 merupakan tahun pelaksanaan, dengan pelabur dijangka lebih selektif dalam pemilihan saham.

“Kami baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan 13 dana semasa sesi pemasaran sektor hartanah. Perbincangan bersama pelabur tertumpu terutamanya kepada tema sektor, khususnya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura serta latihan korporat,” menurut Maybank IB.

Bank pelaburan itu mengekalkan saranan “Neutral” terhadap sektor berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan