KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Anak syarikat Iskandar Waterfront City Bhd (IWCity), Bayou Bay Development Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat untuk melupuskan tanah pajakan seluas 6.64 hektar di Johor kepada WB Southern Sdn Bhd pada harga RM71.55 juta.
IWCity melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata cadangan pelupusan itu dijangka selesai menjelang suku ketiga 2026.
Tanah itu, yang terletak di Plentong, Johor Bahru, dipegang atas dasar pegangan pajakan, yang akan tamat pada 2097.
“Memandangkan baki tempoh pajakan semakin pendek, adalah dijangkakan nilai pasaran tanah itu akan menurun secara beransur-ansur, mencerminkan tempoh pegangan pajakan yang semakin berkurangan, melainkan tempoh pajakan diperbaharui.
“Cadangan pelupusan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan untuk mengoptimumkan portfolio aset dan struktur modalnya, sejajar dengan strategi mereka bagi mengukuhkan daya tahan kewangan, meningkatkan kecairan selain menggunakan semula modal ke dalam pembangunan dan peluang pelaburan yang menyokong pertumbuhan jangka panjang,” kata IWCity.
Pelupusan itu akan membolehkan kumpulan menggunakan hasilnya untuk diselaraskan dengan strategi bagi membiayai pelaburan projek baharu dan mengukuhkan kedudukan kewangan operasi perniagaan sedia ada.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial