WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MARA SASAR UPTM, UNIKL DISENARAIKAN DI BURSA MALAYSIA - TPM AHMAD ZAHID

10/02/2026 03:24 PM

KUALA NERUS, 10 Feb (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan dua institusi pendidikan tinggi di bawahnya, iaitu Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sasaran itu dibuat berdasarkan prestasi keuntungan semasa yang dicapai kedua-dua institusi tersebut.

“Kita telah menetapkan jeda waktu maksimum tiga tahun daripada sekarang berdasarkan kepada ‘track record’ (rekod prestasi) keuntungan yang menjadi prasyarat bagi penyenaraian (di Bursa Malaysia),” katanya kepada pemberita selepas sesi penggulungan Permukiman Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata bagi mengekalkan prestasi kewangan kedua-dua entiti itu, jumlah keuntungan perlu dipertingkatkan antaranya melalui peningkatan jumlah pelajar termasuk dari luar negara.

Katanya, ia boleh dilakukan menerusi pemantapan kursus-kursus yang bersesuaian dengan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, internet pelbagai benda dan robotik.

Beliau berkata sasaran itu selaras dengan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang merupakan anjakan besar bagi pembangunan bumiputera.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata tiga entiti kesihatan iaitu U.n.i Klinik, U.n.i Farmasi dan U.n.i Klinik Pergigian akan digabungkan menjadi sebuah entiti usahawan profesional MARA yang turut disasarkan untuk disenaraikan dalam Bursa Malaysia dalam tempoh yang sama.

“Kita juga berhasrat agar kumpulan usahawan MARA yang telah mendapat pembiayaan daripada MARA untuk membuka U.n.i Klinik, farmasi dan klinik pergigian akan disenaraikan sebagai entiti usahawan profesional yang dibimbing dan dibiayai oleh MARA.

“Kita mempunyai jeda waktu tiga tahun untuk ketiga-tiga entiti ini bagi disenaraikan (dalam Bursa Malaysia),” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Permukiman KKDW dan Syarikat Milikan Agensi Tahun 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula Ahad lepas, telah menggariskan 28 ‘game changer’ atau inisiatif utama untuk dijadikan garis panduan sepanjang tahun ini bagi memacu pembangunan serta kesejahteraan luar bandar.

Katanya, antara inisiatif utama yang ditetapkan adalah pembangunan kawasan desa terpilih sebagai hab pelaburan bersepadu dengan ekosistem sokongan bagi menarik pelaburan bernilai tambah dan memperkukuh sosioekonomi.

Selain itu, beliau berkata KKDW akan menubuhkan sebuah kompleks tetap sebagai pusat sehenti komersial desa yang menghimpunkan produk, perkhidmatan dan aktiviti ekonomi komuniti setempat, dengan sasaran jualan tahunan melebihi RM14 juta.

“Kita harapkan pada tahun ini sebagai tahun pelaksanaan kepada semua perancangan yang telah dibuat untuk tiga tahun pertama,” katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan