WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS TAHAN 36 INDIVIDU, GAGALKAN CUBAAN SELUDUP MIGRAN KE INDONESIA

14/02/2026 05:58 PM

IPOH, 14 Feb (Bernama) -- Polis berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan migran dengan penahanan 36 individu termasuk dua dalang dalam serbuan di dua lokasi berasingan sekitar Selekoh, Bagan Datuk.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata tangkapan dibuat selepas sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah serta Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk membuat serbuan di kebun kelapa sawit Sungai Payung dan Kampung Sungai Payung pada semalam dan hari ini. 

Beliau berkata hasil pemeriksaan di lokasi tersebut 29 orang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan empat wanita warga Indonesia serta empat lelaki warga Bangladesh berusia antara 18 hingga 55 tahun yang sedang duduk berkumpul bersama beg pakaian dipercayai cuba untuk diseludup pulang ke Indonesia dengan menggunakan jalan laut.

“Seorang tekong darat warga Indonesia berumur 44 tahun turut diberkas dalam serbuan berasingan di lokasi sama kira-kira 9.40 malam, selain seorang lagi lelaki warga Indonesia yang dipercayai bertindak sebagai transporter darat ditahan di sebuah hotel di Hutan Melintang. 

“Polis turut merampas sebuah kereta Honda City yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut dan kedua-dua suspek dipercayai berperanan menguruskan bekalan makanan serta pengangkutan migran berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisam berkata dalam serbuan kedua pada 8.56 pagi tadi, dua lelaki dan tiga wanita warga Indonesia berumur antara 20 dan 36 tahun ditahan di tepi jalan kampung Sungai Payung. 

“Susulan itu, tekong dan transporter darat direman 28 hari hingga 13 Mac depan di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah) khas 2012, manakala 34 migran direman 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959 (pindaan 2002).

"Kesemua mereka akan dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh untuk pengesahan identiti rekod keluar masuk,” katanya.

Beliau berkata kes kini disiasat di bawah Seksyen 26a Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan