WILAYAH - TENGAH > BERITA

OPS TBC 2026: JPJ PULAU PINANG TUMPU 12 LOKASI HOTSPOT, BLACKSPOT KEMALANGAN

15/02/2026 12:01 PM

BUKIT MERTAJAM, 15 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan Pulau Pinang (JPJ) Pulau Pinang memberi tumpuan kepada 12 lokasi dikenal pasti sebagai hotspot dan blackspot dalam pelaksanaan penguatkuasaan Ops Khas Tahun Baru Cina (TBC) 2026 bermula 9 hingga 22 Feb.

Pengarah JPJ negeri Zulkifly Ismail berkata lokasi berkenaan melibatkan empat zon merangkumi lima daerah yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi serta kerap berlaku kemalangan jalan raya.

“Bagi penugasan operasi kali ini, kita menggerakkan keseluruhan 168 anggota yang akan melakukan rondaan setiap hari di lokasi berkenaan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan pengguna jalan raya,” katanya kepada pemberita pada sidang media pelaksanaan Ops TBC 2026 di Jambatan Pulau Pinang di sini, malam tadi.

Beliau berkata pihaknya turut memperluas penggunaan kamera badan dalam operasi kali ini bagi meningkatkan tahap integriti anggota penguat kuasa serta ketelusan semasa menjalankan tugas.

Selain itu, beliau berkata penggunaan kamera badan yang mula dilaksanakan sepenuhnya pada awal tahun ini juga banyak membantu aspek penguatkuasaan, termasuk dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku sebarang gangguan atau halangan semasa pelaksanaan tugas di lapangan.

Sementara itu, Zulkifly berkata objektif pelaksanaan operasi berkenaan adalah untuk memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas, sekali gus meminimumkan kadar kemalangan serta kematian akibat kemalangan jalan raya.

Beliau berkata penguatkuasaan juga bertujuan memastikan kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam, di samping meningkatkan tahap keselamatan, kualiti serta kebolehharapan perkhidmatan kepada pengguna.

Terdahulu, dalam operasi bersepadu yang bermula 8.30 malam hingga 12 tengah malam, sebanyak 584 kenderaan telah diperiksa dengan 167 daripadanya diambil tindakan dan 184 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Operasi disertai 61 pegawai dan anggota termasuk dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen (JIM) serta pihak konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad.

Selain JPJ, sebanyak 10 saman dikeluarkan JSPT manakala JAS melaksanakan 57 pemeriksaan dan mengeluarkan 11 kompaun, 11 notis arahan uji semula di samping menjalankan 20 ujian meter asap.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan