MELAKA, 12 Feb (Bernama) -- Polis Melaka akan meningkatkan pemantauan di 10 lokasi ‘hotspot’ yang kerap berlaku kesesakan lalu lintas serta tujuh lokasi ‘blackspot’ yang sering mencatatkan kemalangan sepanjang Ops Selamat 25 sempena sambutan Tahun Baharu Cina minggu depan.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata lokasi terlibat merangkumi persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran antaranya Jalan Krubong, Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) serta beberapa laluan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
“Kita mendapati berlaku peningkatan kes kemalangan tahun ini berbanding tahun lepas, khususnya melibatkan jalan persekutuan. Selain itu, kemalangan maut di Lebuhraya PLUS juga agak tinggi memandangkan jajaran lebuh raya di Melaka hampir 50 kilometer bermula dari Simpang Ampat, Alor Gajah hingga ke Jasin.
“Kemalangan bukan sahaja berpunca daripada kecuaian manusia, malah keadaan jalan yang tidak sempurna atau rosak turut menyumbang kepada peningkatan kemalangan di kawasan ‘hotspot’ dan ‘blackspot’ yang dikenal pasti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Ops Selamat 25 Melaka yang turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman di Dataran MBMB, di sini hari ini.
Seramai 159 pegawai dan anggota terlibat dalam penugasan ‘point duty’, rondaan serta pemantauan di kawasan ‘hotspot’ dan ‘blackspot’, selain penyuraian kesesakan bagi memastikan kelancaran trafik sekali gus mengurangkan kemalangan jalan raya dengan sasaran sifar kemalangan maut.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kemasukan kenderaan ke Melaka sempena cuti panjang Tahun Baharu Cina tahun ini meningkat 66 peratus kepada 318,000 kenderaan berbanding 105,000 kenderaan pada hari biasa.
Dzulkhairi mengalakkan rakyat Melaka yang ingin meninggalkan rumah dalam tempoh lama sempena cuti perayaan itu memaklumkan kepada polis menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau balai polis berhampiran bagi memudahkan rondaan dijalankan.
“Setakat ini, seramai 80,000 pengguna telah berdaftar menerusi aplikasi VSP di negeri ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial