WILAYAH - UTARA > BERITA

8.1 JUTA TEBUS SARA UNTUK SEMUA SETAKAT JUMAAT

15/02/2026 03:15 PM

BALIK PULAU, 15 Feb (Bernama) -- Kira-kira 8.1 juta penerima telah menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua bernilai RM100 secara one-off setakat Jumaat lepas dengan perbelanjaan hampir RM780 juta, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Beliau berkata sambutan terhadap inisiatif itu amat menggalakkan dan mencerminkan keberkesanan pendekatan kerajaan dalam memastikan bantuan sampai secara langsung kepada rakyat bagi meringankan beban kos sara hidup.

“Kali ini, inisiatif SARA Untuk Semua juga telah melebarkan kategori barangan boleh dibeli termasuk barangan beku sekali gus memberi lebih pilihan kepada penerima untuk memenuhi keperluan harian,” katanya selepas Sesi Turun Padang Kampung Angkat MADANI Menteri Kewangan II di Kampung Pulau Betong di sini hari ini. 

Amir Hamzah berkata lebihan peruntukan SARA Untuk Semua yang tidak ditebus oleh penerima berkemampuan akan disalurkan semula kepada golongan lebih memerlukan termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesakit kronik dengan tahun lepas, RM150 juta dipulangkan bagi program khusus untuk golongan rentan.

Beliau berkata sejak tiga tahun kebelakangan ini, kerajaan melaksanakan pembaharuan fiskal melalui pendekatan bersasar termasuk penyasaran subsidi diesel serta petrol bagi mengurangkan ketirisan dan penjimatan diperoleh diagihkan semula kepada rakyat melalui peningkatan peruntukan SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Beliau berkata peruntukan bagi SARA dan STR kini mencecah RM15 bilion berbanding RM6 bilion semasa pelaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sekali gus memastikan bantuan disalurkan lebih adil dan tepat kepada kumpulan sasaran.

Selain itu, beliau berkata usaha menangani kos sara hidup turut diperkukuh melalui pelaksanaan program di bawah payung Rahmah melibatkan penganjuran jualan barangan keperluan pada harga lebih rendah di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) negara ini.

Beliau berkata jualan Rahmah diadakan sehingga tiga kali sebulan di setiap DUN sekali gus memberi peluang lebih meluas kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga mampu milik, terutamanya ketika tekanan kos sara hidup masih dirasai.

Selain itu, Amir Hamzah berkata kerajaan juga sedang melaksanakan pembaharuan struktur ekonomi di bawah kerangka Ekonomi MADANI dengan memberi tumpuan kepada usaha menaikkan siling ekonomi dan lantai hidup rakyat, khususnya melalui peningkatan pendapatan.

“Antara langkah diambil termasuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 selain melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam sebanyak dua kali dalam tempoh dua tahun dengan peningkatan purata sehingga 15 peratus.

“Selain itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) turut beralih daripada gaji minimum kepada pelaksanaan gaji wajar dengan kadar RM3,100 sebagai gaji minimum yang diharap dapat menjadi isyarat kepada sektor swasta untuk mengikut pendekatan sama," katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan