WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA KANAK-KANAK ANTARA TIGA MAUT NAHAS KERETA DAN LORI

15/02/2026 05:33 PM

IPOH, 15 Feb (Bernama) -- Dua kanak-kanak antara tiga individu maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori di KM25, Jalan Hutan Melintang-Bagan Datuk, semalam.

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk Supt Mohammad Ali Mohd Jali berkata kejadian berlaku kira-kira 2.30 petang itu menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lelaki berusia 26 tahun yang merupakan pemandu kereta serta kanak-kanak perempuan berusia enam tahun meninggal dunia di Hospital Teluk Intan.

“Kemalangan berlaku apabila lori jenis Mitsubishi Fuso dipandu wanita berusia 41 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta jenis Kia Cerato dinaiki sepasang suami isteri, tiga kanak-kanak serta seorang bayi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kejadian turut menyebabkan tiga penumpang kereta cedera parah iaitu isteri pemandu yang berusia 24 tahun, seorang kanak-kanak berusia 13 tahun serta bayi berusia enam bulan itu, dengan kesemuanya dirawat di hospital sama.

Kemalangan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Insp Normah Abu Hassan melalui talian 010-5364619 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan