WILAYAH - TIMUR > BERITA

KELANTAN PERKASA PELANCONGAN KESIHATAN SASAR PASARAN NEGARA JIRAN

16/02/2026 12:42 PM

KOTA BHARU, 16 Feb (Bernama) -- Kelantan mula mengorak langkah dalam sektor pelancongan kesihatan dengan menyasarkan pasaran Indonesia, Singapura dan Thailand menerusi kekuatan hospital pakar swasta yang menawarkan kos rawatan lebih kompetitif.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamaruddin Md Noor berkata negeri ini telah memulakan promosi ke Pekanbaru, Indonesia serta menganjurkan program lawatan suai kenal bagi menarik pesakit mendapat rawatan di Kelantan.

"Antara hospital yang bersedia menawarkan perkhidmatan tersebut ialah Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) yang terkenal dengan kepakaran neurologi, selain Kota Bharu Medical Centre (KBMC) yang giat menambah kapasiti katil bagi memenuhi permintaan.

"Walaupun jumlah pesakit antarabangsa masih belum tinggi, kemasukan dari Indonesia khususnya menunjukkan perkembangan positif dengan kekuatan utama Kelantan terletak pada kualiti perkhidmatan perubatan setanding dengan hospital besar di negeri lain, tetapi pada kos lebih rendah," katanya selepas Majlis Makan Malam Apresiasi Pemain Industri Pelancongan dan Penggiat Seni Tahun 2025 di sini, semalam.

Beliau berkata pihaknya akan membantu dari segi promosi, manakala pihak hospital perlu memastikan mutu perkhidmatan dan rawatan terbaik kerana kemudahan itu bakal menjadi daya tarikan utama pelancongan kesihatan negeri.

Dalam perkembangan lain, Kamaruddin berkata kerajaan negeri turut menjenamakan semula Tourism Information Centre (TIC) kepada Tourism Kelantan bagi mencerminkan peranan sebenar agensi itu yang lebih luas berbanding sebelum ini hanyalah sekadar pusat penerangan pelancongan.

Beliau berkata keputusan itu telah dipersetujui dalam mesyuarat kerajaan negeri minggu lepas, dengan nama baharu itu menggambarkan fungsi menyeluruh meliputi pengurusan pelancongan, kebudayaan dan kesenian.

"Sebelum ini, TIC hanya dilihat sebagai pusat maklumat, sedangkan agensi berkenaan turut mengurus program, acara dan penyelarasan aktiviti pelancongan, justeru penjenamaan semula ini dibuat bagi memberikan keadilan kepada skop tugas sebenar.

"Perubahan struktur pentadbiran akan dilakukan secara berperingkat termasuk penubuhan lembaga serta penyusunan semula organisasi," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan