WILAYAH - TENGAH > BERITA

TOURISM MALAYSIA SAMBUT KETIBAAN SULUNG PENERBANGAN BERMUSIM GREATER BAY AIRLINES

16/02/2026 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Tourism Malaysia hari ini menyambut ketibaan penerbangan sewa khas sulung Greater Bay Airlines untuk perkhidmatan bermusim harian terus dari Hong Kong ke Kuala Lumpur, menandakan peningkatan penting dalam kesalinghubungan udara dua destinasi itu. 

Penerbangan sulung HB459 yang mendarat di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada 1.55 pagi disambut Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia Lee Thai Hung dan wakil syarikat penerbangan serta Malaysia Airports Holdings Bhd. 

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata pengenalan perkhidmatan bermusim itu dijangka merangsang sektor pelancongan negara semasa tempoh Tahun Baharu Cina yang secara tradisinya menjadi antara musim puncak perjalanan di rantau ini. 

“Dengan memperluas kapasiti penerbangan dari Hong Kong, perkhidmatan ini dijangka meningkatkan ketibaan pelancong, merangsang perbelanjaan berkait pelancongan dan memberi manfaat kepada sektor seperti hospitaliti, runcit, makanan dan minuman serta pengangkutan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tourism Malaysia dalam kenyataan sama memaklumkan perkhidmatan bermusim itu mencerminkan komitmen Greater Bay Airlines untuk memenuhi permintaan perjalanan puncak daripada pengembara riadah, mereka yang melawat keluarga dan rakan serta golongan perniagaan yang mengembara antara Hong Kong dan Malaysia. 

Penerbangan harian bermusim juga meningkatkan kesalinghubungan antara dua hab pelancongan dan ekonomi utama, menawarkan kemudahan lebih baik dan fleksibel kepada pengembara serta dijangka menyokong peningkatan pelancongan dan memudahkan hubungan rakyat dua negara dengan lebih baik. 

Menurut kenyataan itu, Hong Kong bersama-sama tanah besar China secara konsisten menjadi antara sumber pasaran utama Malaysia dengan 4.7 juta ketibaan dari China direkodkan pada 2025, mewakili peningkatan tahun ke tahun sebanyak 25.1 peratus. 

 Tourism Malaysia memaklumkan kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan antarabangsa bagi memperluas rangkaian penerbangan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pengembara serantau dan jarak jauh.

Tourism Malaysia juga menyatakan harapan untuk terus bekerjasama dengan Greater Bay Airlines dalam inisiatif promosi bersama-sama untuk mempamerkan pelbagai tarikan dan gastronomi serta layanan terkenal Malaysia kepada pengembara dari Hong Kong.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan