WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JPJ KELANTAN KELUAR LEBIH 7,000 NOTIS GAGAL PATUHI PERATURAN JALAN

17/02/2026 12:23 AM

KOTA BHARU, 16 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 7,414 notis (P22) atas pelbagai kesalahan jalan raya terhadap penunggang motosikal sepanjang pelaksanaan Ops Khas Tahun Baharu Cina 2026 (Ops TBC 2026) bermula 9 Feb lepas hingga setakat ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi) JPJ Datuk Jazmanie Shafawi berkata sepanjang tempoh sama, sebanyak 41,332 motosikal diperiksa di seluruh negara dengan 103 daripadanya disita atas pelbagai kesalahan.

"Selain itu, sebanyak 4,242 bas turut diperiksa di depoh dan terminal seluruh negara setakat semalam dan daripada jumlah itu, sebanyak 779 slip pemeriksaan dikeluarkan.

"Dua bas pula disita atas ketidakpatuhan terhadap keperluan keselamatan dan perundangan yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau Ops TBC 2026 di Lembah Sireh di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut melaksanakan operasi penyamaran sebagai penumpang bas bagi memantau tahap pematuhan undang-undang dan aspek keselamatan secara lebih menyeluruh, terutama ketika peningkatan pergerakan orang ramai sempena musim perayaan.

"Sebanyak 381 pemandu bas telah menjalani ujian saringan air kencing sepanjang operasi dijalankan, dengan tiga daripadanya didapati positif dadah dan tindakan lanjut telah diambil.

"Bagi kenderaan barangan, sebanyak 106 tindakan penguatkuasaan direkodkan di seluruh negara melibatkan kenderaan barangan, dengan lima negeri mencatatkan tindakan tertinggi, iaitu Negeri Sembilan iaitu 35 kes, Selangor (16), Pulau Pinang (15), Perak (12) dan Terengganu (sembilan)," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan