WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UMAT ISLAM PELIHARA TRADISI RAMADAN, IKATAN KEAGAMAAN SEMAKIN KUKUH DARI MYANMAR HINGGA KEMBOJA

19/02/2026 01:01 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 19 Feb (Bernama) -- Minoriti umat Islam di rantau ini terus menghargai tradisi keagamaan mereka sepanjang Ramadan apabila mula berpuasa pada Khamis.

Mereka menyambut bulan suci Ramadan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam serta penuh dedikasi dan kebanggaan walaupun merupakan kumpulan minoriti di negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha.

Komuniti Muslim dari Hanoi hingga Phnom Penh dan Yangon mengekalkan tradisi Islam yang telah lama diamalkan seperti membayar zakat, berpuasa, membaca al-Quran serta terlibat dalam perhimpunan komuniti yang bermakna sepanjang bulan itu.

“Bagi umat Islam di Kemboja, Ramadan adalah tempoh apabila keimanan kami diraikan secara terbuka. Ramadan memperkukuh ikatan komuniti secara signifikan.

“Perdana Menteri (Kemboja) telah menganjurkan majlis berbuka puasa peringkat kebangsaan setiap tahun sejak 2014 yang dihadiri ribuan orang.

“Acara ini, bersama-sama majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh pemimpin dan pegawai kerajaan bukan Islam, melambangkan keharmonian etnik dan agama di negara ini,” kata ahli jawatankuasa Masjid Al-Serkal Mohammat Younes kepada Bernama.

Lebih 800,000 umat Islam di seluruh negara itu menyambut bulan suci berkenaan di Kemboja yang mempunyai hampir 17 juta penduduk, dengan majoritinya merupakan penganut Buddha.

Di hampir 600 masjid dan surau di seluruh negara itu yang terletak di bandar dan kampung pedalaman, umat Islam menunaikan ibadah dalam suasana harmoni serta hidup bersama dengan gembira bersama jiran beragama Buddha.

Di Phnom Penh pula, “Bazar Ramadan Kemboja” khas yang berlangsung selama sebulan diadakan, sekali gus mencerminkan perpaduan budaya yang pelbagai di bandar raya itu.

Sementara itu, umat Islam di Myanmar akan mula berpuasa pada Jumaat.

Hampir 2.3 juta umat Islam daripada keseluruhan 55 juta penduduk di negara yang juga majoritinya penganut Buddha itu bersiap sedia menyambutnya dengan penuh ketaatan.

Mereka tidak terjejas dengan keadaan politik atau ekonomi di negara yang sedang melalui peralihan politik besar.

“Terdapat banyak aktiviti komuniti sepanjang Ramadan seperti membayar zakat, membantu masjid semasa waktu berbuka puasa dan menghoskan majlis iftar.

“Terdapat lebih 100 masjid di Yangon dan kami berusaha membantu masjid di seluruh negara sepanjang Ramadan bagi melaksanakan aktiviti mereka,” kata Setiausaha Agung Majlis Hal Ehwal Agama Islam yang berpangkalan di Yangon, Tin Maung Than kepada Bernama dalam temu bual telefon.

Di Vietnam pula, kira-kira 100,000 umat Islam akan menyambut bulan suci itu pada Khamis dengan berpuasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari, yang merupakan satu daripada lima rukun Islam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan