WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PMM LAUNG AMARAN AWAL, SASAR EMPAT PINGAT EMAS PADA SUKAN SEA 2027

20/02/2026 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM) melaungkan amaran awal apabila menyasarkan empat pingat emas pada Sukan SEA 2027 yang akan dianjurkan di negara ini tahun depan.

Presidennya Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata sebanyak 14 kategori dicadangkan untuk dipertandingkan termasuk mengekalkan kategori yang membutirkan kilauan emas buat Malaysia pada Sukan SEA 2025 di Thailand.

“Jadi, untuk kita jadi juara keseluruhan (Muay Thai), sangat penting dari segi teknikal untuk pilih kategori yang kita boleh menang. Sudah tentunya kita tak boleh menang semua tapi kalau nak tewaskan Thailand, kena ada strategi.

“Kita tidak akan letak semua kategori yang dipertandingkan di Thailand...kita akan letak kategori yang kecil (ringan) yang kita boleh menang pingat,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa kerja (JKK) di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini, hari ini.

Muhammad Shahnaz berkata selain mengetengahkan atlet remaja berpotensi, PMM turut bersedia menurunkan jaguh negara antaranya juara dunia Mohd Rifdean Masdor, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib dan Ahmad Adam Rakib pada temasya sukan dwitahunan itu.

Sebagai rekod, Malaysia membawa pulang tiga emas, tiga perak dan empat gangsa pada Sukan SEA 2025 sekali gus melepasi sasaran satu yang ditetapkan.

Pencapaian sensasi itu menyaksikan peningkatan dicatat kem negara selepas hanya mengutip masing-masing satu emas dan perak pada edisi 2021 di Vietnam. Acara Muay Thai tidak dipertandingkan di Kemboja pada 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan