WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BAZAR RAMADAN 'ACARA TAHUNAN' DINANTI-NANTIKAN RAKYAT MALAYSIA

21/02/2026 11:42 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Kunjungan ke bazar Ramadan bukan hanya sinonim dengan umat Islam di negara ini, malah menjadi ‘acara tahunan’ rakyat daripada pelbagai kaum yang mahu menikmati aneka juadah serta merasai kemeriahan suasana penuh harmoni.

Pengunjung, Rogini Rasanya, 33, berkata kehadiran masyarakat pelbagai latar belakang di bazar Ramadan mencerminkan konsep perpaduan sebenar.

Pengurus syarikat insurans itu berkata setiap kali berkunjung ke bazar, beliau dapat melihat realiti masyarakat majmuk Malaysia yang menjadikan pengalaman tersebut lebih bermakna dan menyeronokkan.

“Setiap tahun saya pasti ke bazar Ramadan, cuma lokasinya berbeza. Hari ini saya teringin makan kebab dan ayam panggang.

“Walaupun makanan itu boleh dibeli pada hari biasa, tetapi pada Ramadan pilihannya lebih pelbagai. Itu sebabnya saya suka ke bazar,” katanya ketika ditemui Bernama di Bazar Ramadan Kampung Baru di sini hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Wong Tien Jie, 28, berkata keunikan kuih-muih tradisional Melayu yang jarang ditemui pada bulan lain menjadi tarikan utama beliau dan keluarga.

“Hari ini saya bersama ibu untuk membeli lemang dan kuih akok kegemaran kami. Biasanya kami datang pada hujung minggu untuk mencari pelbagai jenis kuih Melayu,” katanya.

Pekerja swasta itu turut menyifatkan kunjungan ke bazar Ramadan sebagai tradisi tahunan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Bagi pelancong luar, Nada Demeterova, 62, pengalaman pertama mengunjungi bazar Ramadan amat mengujakan kerana kepelbagaian makanan yang ditawarkan.

“Saya sangat lapar dan ternampak gerai-gerai jualan, lalu terus singgah. Peniaga juga mesra dan membenarkan kami merasa makanan sebelum membeli,” katanya.

Sementara itu, peniaga Fitri Zohdi, 33, memilih menjual menu masyarakat India iaitu pani puri yang mendapat sambutan menggalakkan termasuk daripada pelanggan Melayu.

“Kebanyakan pembeli pani puri ialah orang Melayu. Jadi tiada masalah untuk saya mengetengahkan menu masyarakat India di bazar Ramadan,” katanya.

Selain itu, beliau turut menjual kuih penjaram yang disifatkan sebagai jambatan budaya kerana menjadi pilihan pelbagai kaum sepanjang lapan tahun berniaga di bazar Ramadan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan