WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NAIK TARAF STADIUM PERAK DIJANGKA SIAP SEPENUHNYA JUN INI - EXCO

21/02/2026 08:51 PM

IPOH, 21 Feb (Bernama) -- Kerja-kerja menaik taraf kemudahan termasuk penukaran rumput padang di Stadium Perak dijangka siap sepenuhnya pada Jun ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching berkata projek berkenaan pada asalnya disasarkan siap lebih awal, namun beberapa faktor termasuk cuaca serta pelarasan skop kerja menyebabkan jadual pelaksanaan terpaksa disusun semula.

“Ketika ini, kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan dan longkang sedang giat dilaksanakan manakala rumput lama telah dibuka sepenuhnya untuk penanaman rumput baharu.

“Apabila semua skop kerja ini telah disiapkan, kita perlu menunggu kira-kira tiga atau empat bulan untuk tempoh percubaan sebelum boleh digunakan sepenuhnya untuk pelbagai aktiviti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Ramah Mesra di Bazar Ramadan Medan Gopeng di sini hari ini.

Pada 3 Okt tahun lepas, kerajaan negeri menyasarkan kerja menaik taraf kemudahan termasuk padang stadium yang menggunakan rumput jenis Axonopus Putra dijangka siap pada Jan lepas.

Sandrea berkata pihaknya akan terus memantau kemajuan projek selain memastikan semua kerja dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan melihat semula punca selain tindakan susulan yang perlu diambil di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit bagi mencegah kejadian banjir di Manjoi pada 16 Feb lepas daripada berulang.

Beliaua berkata bidang kuasa yang tertakluk di bawah MBI itu meliputi sistem perparitan serta pembersihan kawasan yang terjejas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan