WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS TAHAN LELAKI DISYAKI AKTIF MENCURI, PECAH KERETA GUNA PALAM PENCUCUH

22/02/2026 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Polis telah menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan memecah cermin kenderaan menggunakan palam pencucuh di kawasan parkir bagi mencuri barangan di dalamnya. 

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Basri Sagoni berkata suspek yang berusia 22 tahun itu diberkas di sekitar Damansara, Selangor pada kira-kira 8.30 malam tadi manakala siasatan awal mendapati dia mempunyai enam rekod jenayah dan satu rekod membabitkan dadah.

Beliau berkata suspek ditahan susulan laporan polis yang diterima pada Selasa lepas daripada seorang mangsa yang mendakwa cermin keretanya dipecahkan ketika kenderaan itu diletakkan di kawasan parkir MRT Kepong Baru.

“Polis juga berjaya merampas beberapa barangan milik mangsa iaitu sebuah telefon bimbit, seutas jam tangan, lima keping kad Touch ’n Go, satu unit pengecas bateri serta pakaian yang digunakan suspek semasa melakukan jenayah tersebut.

“Modus operandi suspek ialah menyasarkan kawasan parkir di stesen MRT dan tempat yang sunyi. Antara peralatan yang digunakan semasa melakukan jenayah tersebut ialah serpihan seramik daripada palam pencucuh,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Basri berkata pihaknya percaya enam kes berkaitan yang dilaporkan sebelum ini selesai susulan penahanan suspek, dan proses soal siasat masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk proses pendakwaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan