KOTA BHARU, 22 Feb (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas senjata, dadah serta bahan terlarang pada 15 dan 16 Feb melibatkan rampasan keseluruhan dianggarkan RM43,740.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata rampasan menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan juga menahan empat lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 36 tahun.
Beliau berkata suspek berusia 36 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Maka Utama, Pasir Mas pada 6.45 petang 15 Feb dan pihaknya merampas selaras senjata menyerupai crossbow serta lima botol berisi 20 liter cecair disyaki kodein.
“Suspek mendakwa senjata itu diperoleh dari Thailand melalui pangkalan haram dan digunakan untuk memanah ikan manakala cecair bagi kegunaan peribadi dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah telefon bimbit dan beg raket badminton RM14,050,” katanya.
Ahmad Radzi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Kes kedua pada 4 petang 16 Feb melibatkan serbuan oleh pasukan anggota Batalion 7 PGA dan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang ke atas sebuah rumah di Taman Anggerik Putih, Machang susulan maklumat berkaitan pengedaran dadah.
“Pemeriksaan di rumah dan kenderaan menemukan 1,520 biji pil dipercayai dadah jenis epam, 0.85 gram ketulan disyaki ketamin dan 24 liter air ketum telah diproses dengan nilai rampasan dianggarkan RM29,690 termasuk tiga telefon bimbit.
“Siasatan awal mendapati bekalan dadah diperoleh melalui transaksi dalam talian manakala air ketum untuk jualan di sekitar kawasan perumahan,” katanya.
Ahmad Radzi berkata tiga suspek berusia 27 dan 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Beliau berkata pihaknya akan terus mempergiat operasi dan pemantauan bagi membanteras kegiatan jenayah, penyeludupan di sempadan serta pencerobohan khazanah hutan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial