POLITIK > BERITA

KONGRES KHAS DAP: PARTI KOMPONEN KERAJAAN PERPADUAN TIDAK PERLU BIMBANG - SIM

22/02/2026 11:25 PM

BUTTERWORTH, 22 Feb (Bernama) -- Semua parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak perlu bimbang dengan penganjuran kongres khas DAP pada 12 Julai depan kerana ia merupakan platform untuk parti itu bermuhasabah dan menilai prestasi dalam kerajaan.

Pengerusi DAP Pulau Pinang dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) Steven Sim berkata parti itu tidak akan mengkhianati kerajaan kini atau membelakangkan kepentingan rakyat.

"Saya tahu ada segelintir pemimpin parti komponen yang mungkin berasa bimbang apabila Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke) mengumumkan akan mengadakan kongres khas bagi membincangkan kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan. Saya ingin tegaskan, jangan bimbang.

“Apa jua keputusan DAP, kita tidak akan mengkhianati dan membelakangi kepentingan rakyat,” katanya ketika berucap pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Pulau Pinang di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Penasihat DAP Lim Guan Eng dan ahli politik veteran Tan Sri Lim Kit Siang. 

Sebelum ini, Loke berkata kongres itu akan memberi ruang kepada perwakilan menentukan sama ada pemegang jawatan parti perlu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan.

Loke turut memaklumkan bahawa 40 Ahli Parlimen parti itu akan terus menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.

Sim yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata kongres khas itu akan menjadi medan untuk ahli DAP di seluruh negara melakukan penilaian kendiri, termasuk menilai kedudukan dan prestasi parti dalam Kerajaan Perpaduan serta sejauh mana kepentingan rakyat terus dipelihara.

Sehubungan itu, beliau menyarankan ahli DAP Pulau Pinang mengambil peluang sebelum kongres tersebut untuk turun padang bertemu pengundi dan rakyat bagi mendapatkan pandangan, komen serta kritikan yang perlu dikumpulkan bagi memastikan maklum balas yang dibawa ke kongres benar-benar mencerminkan suara rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan