WILAYAH - SELATAN > BERITA

MAYAT SUBKONTRAKTOR LELAKI DITEMUKAN TERAPUNG

23/02/2026 09:12 AM

JOHOR BAHRU, 23 Feb (Bernama) -- Seorang subkontraktor lelaki yang terjatuh dari bot ketika keluar memancing bersama dengan anak angkatnya di Jeti Bumbung Biru, Tanjung Ayer Hitam dekat Kayu Ara Pasong, Pontian pagi semalam, ditemukan meninggal dunia malam tadi.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintenden Hadzrat Mion Hussein berkata mayat Tan Siang Fook, 55, ditemukan terapung di permukaan air di sebelah tebing kiri menghala ke Pontian Besar, kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh, pada kira-kira 10.30 malam.

“Mayat mangsa itu ditemukan oleh seorang lelaki tempatan, Mohamad Azwan Abdul Aziz, yang turut membantu operasi mencari bersama rakan-rakannya dengan menaiki bot bermula sekitar 9.30 malam,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati mangsa berpakaian lengkap dan tiada sebarang kesan kecederaan luaran pada tubuh mangsa.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Kampung Tanjung Ayer Hitam dan pemeriksaan lanjut mendapati kad pengenalan dirinya dijumpai di dalam beg pinggang yang dipakai.

Hazrat Mion berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Pontian untuk proses bedah siasat.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat itu melibatkan Polis Diraja Malaysia dari IPD Pontian, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam serta Kementerian Kesihatan dengan kehadiran penduduk kampung di sekitar kawasan jeti.

Semalam, Hadzrat Mion memaklumkan bahawa Tan dipercayai lemas ketika keluar memancing bersama dengan anak angkatnya, Chong Hao Chen, 9, dan ketika kejadian, mangsa  menaiki sebuah bot berenjin 20 kuasa kuda yang disewa sekitar 8 pagi.

Beliau berkata bot itu dipercayai melanggar sebatang kayu yang melintang di laluan air sehingga menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai, kira-kira 800 meter dari jeti.

Katanya anak angkat mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada bot serta menyaksikan kejadian itu, dan semasa insiden berlaku, kedua-duanya tidak memakai jaket keselamatan.

Terdahulu, kes itu tular di Facebook bahawa kanak-kanak itu telah ditemukan oleh orang awam di sebuah lokasi, dan warisnya sedang dicari.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan