JOHOR BAHRU, 23 Feb (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menyita 42 kenderaan mewah dan menumpaskan sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai, dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai melebihi RM36.9 juta dalam dua operasi berasingan sejak 5 Jan lepas.
Pengarah Kastam Johor Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata Bahagian Penguatkuasaan JKDM telah melaksanakan 341 pemeriksaan merangkumi premis gudang berlesen serta rondaan darat menerusi operasi khas Ops Terma sehingga 6 Feb lepas.
Beliau berkata daripada 21 kes yang dibuka dalam Ops Terma, 42 kenderaan mewah pelbagai jenama disita dengan anggaran nilai RM7,663,970 manakala cukai terlibat berjumlah RM14,368,334.
“Jumlah keseluruhan nilai dan cukai bagi kes ini adalah RM22,032,304. Sebanyak empat tangkapan turut dibuat membabitkan pemilik syarikat warga tempatan berumur lingkungan 40 hingga 50 tahun,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah peruntukan Seksyen 65, Seksyen 75 dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Ops Terma turut menyasarkan kenderaan yang diimport secara tidak sah termasuk dari Singapura yang dibawa masuk tanpa permit import sah di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Dalam kes berasingan, JKDM Johor turut menumpaskan sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai melalui serbuan di sebuah gudang di sekitar Kulai kira-kira 11 malam pada 20 Jan lepas hasil maklumat Cawangan COBRA Ibu Pejabat.
Beliau berkata hasil pemeriksaan di gudang itu menemukan sejumlah minuman keras disyaki terlibat dengan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967.
“Sebanyak 572,928 tin minuman keras bersamaan 286,464 liter disita dengan anggaran nilai sitaan RM2,570,800 manakala cukai atau duti terlibat adalah RM12,276,339. Turut disita sebuah lori Isuzu Hino serta lima kontena 40 kaki dengan nilai RM55,000, menjadikan keseluruhan nilai sitaan termasuk cukai bagi kes itu RM14,902,139,” katanya.
Beliau berkata minuman keras adalah barang larangan import di bawah Butiran 3, Jadual Ketiga, Bahagian II Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan pengimportannya memerlukan lesen import serta setem cukai yang diluluskan Ketua Pengarah Kastam Malaysia selaras Peraturan 42(1) Peraturan-Peraturan Kastam 2019.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang larangan manakala usaha mengesan pemilik premis serta dalang sindiket masih giat dijalankan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial