WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JBPM LAKSANA PENGUATKUASAAN KESELAMATAN KEBAKARAN SECARA BERTERUSAN ELAK TRAGEDI

24/02/2026 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan penguatkuasaan keselamatan kebakaran secara berterusan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini seperti kebakaran pangsapuri di Hong Kong, tahun lepas. 

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata ia termasuk kawal selia bahan, peralatan dan sistem perlindungan kebakaran serta pensijilan pepasangan agar hanya produk mematuhi piawaian dibenarkan digunakan. 

Beliau berkata Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (Pindaan 2021) turut menetapkan bangunan kediaman pangsapuri reka bentuk terbuka melebihi 40 tingkat atau 120 meter perlu dilengkapi sistem keselamatan seperti semburan atau sprinkler automatik, sistem gelung hos, penggera kebakaran, interkom bomba dan pusat kawalan kebakaran.

Penguatkuasaan itu dilakukan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) dan dilaksanakan melalui pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) termasuk terhadap Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB). 

“Dari 2023 hingga 2025, sebanyak 1,537 pemeriksaan dijalankan dengan 416 premis dikenal pasti tidak patuh, menyaksikan 7,648 notis dikeluarkan. Bagi 2026 JBPM telah menetapkan sasaran pemeriksaan MBK sebanyak 850 premis melibatkan rumah kediaman pangsapuri di seluruh negara,” katanya di Dewan Negara hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sejauh mana persediaan KPKT menangani kebakaran teruk seperti yang berlaku di Hong Kong berikutan peningkatan bangunan pencakar langit di negara ini.

Aiman Athirah berkata JBPM juga menempatkan 20 jentera Aerial Ladder Platform (ALP) di lokasi strategik dan akan menerima tambahan 30 jentera Fire Rescue Tender serta 37 Compact Fire Rescue Tender tahun ini, selain memohon perolehan 10 Light Turntable Ladder bagi memperkukuh kesiapsiagaan.

“JBPM juga menjalankan kolaborasi strategik dengan Majlis Bangunan Super Tinggi Malaysia yang melibatkan Menara Berkembar Petronas, Menara Exchange 106, Four Seasons Place Kuala Lumpur, Menara Telekom, Menara Merdeka 118 dan Menara Kuala Lumpur bagi meningkatkan sistem keselamatan berteknologi tinggi, latihan simulasi dan prosedur operasi kecemasan,” katanya. 

Kebakaran pangsapuri Wang Fuk Court di Tai Po, Hong Kong pada 26 Nov lepas telah meragut 168 nyawa dan menyebabkan hampir 5,000 penduduk kehilangan tempat tinggal. 

Sementara itu, menjawab soalan berasingan yang diajukan Senator Dr Jufitri Joha mengenai langkah kerajaan menangani banjir kilat, Aiman Athirah berkata sebanyak 1,503 lokasi hotspot banjir kilat dikenal pasti di seluruh negara setakat ini menerusi pangkalan data yang dibangunkan sejak 2022. 

Beliau berkata data itu diperoleh melalui pelaksanaan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) yang digunakan di bandar-bandar utama sebagai panduan menaik taraf sistem saliran dan merancang pembangunan masa hadapan, selain memastikan pelaksanaan serta penyelenggaraan saliran secara berkesan.

“KPKT kini sedang membangunkan sistem pangkalan data dan perparitan bandar berasaskan Sistem Maklumat Geografi (GIS) yang menyepadukan maklumat lokasi banjir kilat, infrastruktur saliran, topografi dan parameter perancangan fizikal di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sistem ini akan menjadi sumber rujukan tunggal bagi meningkatkan ketepatan analisis risiko dan perancangan mitigasi banjir kilat,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan