WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENGURUSAN PROGRAM MATRIKULASI, KESELAMATAN IPT ANTARA TUMPUAN DEWAN RAKYAT HARI INI

25/02/2026 08:48 AM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini akan membincangkan isu pengurusan Program Matrikulasi, keselamatan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan pemeliharaan warisan bersejarah negara.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) pada sesi soal jawab lisan bertanya mengenai pelan pemindahan pengurusan Program Matrikulasi daripada Kementerian Pendidikan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.

Beliau turut meminta penjelasan sama ada penyelarasan itu mampu menamatkan pertindihan birokrasi, menjimatkan kos operasi dan menjamin kualiti kemasukan ke universiti awam tanpa mengorbankan kuota sedia ada.

Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) pula meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan statistik kejadian yang meragut nyawa pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam lima tahun kebelakangan ini serta perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang kementerian bagi meningkatkan keselamatan dan perlindungan di kampus.

Sementara itu, Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) pula mengajukan soalan kepada Menteri Perpaduan Negara mengenai langkah kementerian dalam menangani isu kekurangan pakar kuratorial, konservator, ahli restorasi dan penyelidik warisan yang menjejaskan usaha memelihara artifak dan dokumen bersejarah negara.

Pada sesi sama, Zakri Hassan (PN-Kangar) meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah kementerian memastikan kesinambungan bekalan makanan negara ketika berlaku bencana seperti banjir dan perubahan iklim yang menjejaskan pengeluaran hasil.

Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) pula menyoal menteri sama mengenai langkah kerajaan bagi menangani isu eksport ikan dari Thailand dibenarkan masuk ke pasaran Malaysia, namun eksport ikan tempatan ke negara itu masih terhad.

Usai sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi bacaan kali kedua bagi Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 dan RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan