WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KOMANDER AKPS BUKIT KAYU HITAM TERSELAMAT, KENDERAAN DITEMBAK KETIKA KE MASJID

25/02/2026 11:52 AM

BUKIT KAYU HITAM, 25 Feb (Bernama) -- Kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak dalam satu kejadian di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata Mohd Nasaruddin terselamat dalam kejadian pada 5.40 pagi itu yang berlaku kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

“Mangsa sedang menghala ke Masjid Al Muhajirin Bukit Kayu Hitam untuk menunaikan solat Subuh sebelum didatangi dua individu berpakaian serba hitam menaiki motosikal dengan topi keledar full-face.

“Seorang daripada suspek melepaskan dua tembakan yang terkena pintu di bahagian kanan belakang kenderaan dan pintu sebelah penumpang hadapan, namun tidak mendatangkan kecederaan kepada mangsa,” katanya pada sidang media hari ini.

Adzli berkata sejurus kejadian, mangsa yang memandu seorang diri cuba mengejar suspek sejauh kira-kira satu kilometer sebelum mereka lolos ke kawasan perindustrian berhampiran.

Katanya mangsa kemudian memandu kenderaan persendirian jenis Proton X70 ke Balai Polis Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini.

Beliau berkata polis akan menyiasat daripada semua aspek dan tidak menolak kemungkinan ada ketidakpuasan hati mana-mana sindiket yang melakukan kesalahan di sempadan.

Adzli memaklumkan AKPS Bukit Kayu Hitam merekodkan banyak kejayaan rampasan dalam tempoh dua bulan ini, termasuk rampasan 100 tan beras dan daging khinzir.

“Ini mungkin menyebabkan ketidakpuasan hati sindiket-sindiket. Pihak polis juga banyak menangkap penyeludup dan migran yang berpusat di sini dan mangsa bertanggungjawab atas penugasan di kompleks ini (ICQS Bukit Kayu Hitam),” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan