KOTA TINGGI, 25 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan termasuk membunuh isterinya yang sedang hamil, pada 13 Feb.
Rashidullah Mong Fumiyah, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Bagi pertuduhan pertama, dia yang bekerja sebagai tukang gunting rambut didakwa membunuh Fazanah Eskar, 34, pada awal pagi 13 Feb di sebuah rumah di Kampung Makam, di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 22 April untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan bedah siasat dan kimia.
Bagi pertuduhan kedua, Rashidullah didakwa menghentak kepala kiri isterinya menggunakan lesung batu hingga menyebabkan kematian mangsa serta anak dalam kandungannya di lokasi dan pada tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 316 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Rashidullah memberitahu faham akan pertuduhan dan hukuman dihadapinya, namun ketika ditanya sama ada mengaku bersalah atau tidak, lelaki itu hanya menangis memohon maaf.
Mahkamah menetapkan 18 Mac untuk sebutan semula kes bagi kehadiran jurubahasa Myanmar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eizlan Azhar manakala Rashidullah tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, polis mengesahkan seorang wanita hamil tujuh bulan ditemukan maut di dalam bilik rumah sewa dipercayai dibunuh suaminya menggunakan lesung batu dalam kejadian kira-kira 3 pagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial