WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKPS PERKUKUH KESELAMATAN, TELITI TUBUH PASUKAN KHAS SUSULAN INSIDEN TEMBAKAN

25/02/2026 10:07 PM

SUNGAI BULOH, 25 Feb (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan memperkukuh kawalan keselamatan dan kesiapsiagaan anggotanya, termasuk meneliti penubuhan pasukan khas, susulan insiden tembakan terhadap kenderaan dinaiki seorang komander agensi itu pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah AKPS (Pengurusan) Ismail Mokhtar berkata langkah berkenaan dibuat selaras dengan proses pengambilalihan operasi dan aset daripada enam agensi teras termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia, selain penilaian semula risiko di pintu masuk negara.

“Kita ke arah itu (penubuhan pasukan khas) bagi memperkukuh aspek keselamatan. Dalam tempoh pengambilalihan ini, pasukan penguat kuasa, unit risiko serta kawalan operasi di pintu masuk akan diperkemaskan,” katanya pada sidang media selepas Program Ihya Ramadan dan Iftar bersama warga AKPS di sini hari ini.

Beliau berkata AKPS kini mengendalikan 22 pintu masuk yang diklasifikasikan mengikut tahap risiko, termasuk beberapa lokasi berstatus “hotspot” yang memerlukan pendekatan penguatkuasaan lebih ketat.

Mengulas insiden tembakan di Bukit Kayu Hitam itu, Ismail menyifatkan kejadian tersebut sebagai ancaman serius namun menegaskan ia tidak akan menjejaskan semangat dan komitmen anggota.

Ismail berkata kawalan akan diperketatkan dan permohonan aset keselamatan termasuk persenjataan akan dipercepat bagi memastikan perlindungan pegawai.

“Kita tidak berkompromi terhadap sebarang ancaman kepada anggota dan operasi akan diteruskan seperti biasa dengan langkah keselamatan dipertingkatkan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain telah turun ke lokasi bagi menilai situasi serta memberi sokongan kepada pegawai terlibat.

Terdahulu, sebuah Proton X70 dipandu SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir dilaporkan ditembak kira-kira 5.40 pagi di susur masuk berhampiran Masjid Muhajirin, Bukit Kayu Hitam, lebih kurang satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Mohd Nasaruddin yang dalam perjalanan menunaikan solat Subuh dilaporkan terselamat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan