WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BURSA MALAYSIA KEMUKA PERTANYAAN UMA KEPADA GLOBALTEC FORMATION

25/02/2026 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia Securities Bhd mengeluarkan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) kepada Globaltec Formation Bhd ekoran penurunan harga sahamnya yang ketara, dengan peningkatan jumlah dagangan baru-baru ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, pihak bursa menasihatkan kalangan pelabur supaya mengambil maklum jawapan syarikat terhadap pertanyaan UMA itu, yang akan dipaparkan di laman web Bursa Malaysia di bawah pengumuman syarikat -- http://www.bursamalaysia.com/market/listed-companies/company-announcements/ -- ketika membuat keputusan pelaburan.

Susulan perkara itu, bagi membolehkan pelabur mempunyai maklumat sebelum membuat keputusan pelaburan, syarikat terbabit telah diminta untuk memberi maklum balas terhadap pertanyaan tersebut bagi siaran umum sejajar dengan Perenggan 9.11 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.

Langkah tersebut dilaksanakan selepas membuat pertanyaan sewajarnya kepada kalangan pengarah, pemegang saham utama dan individu berkaitan lain, jelasnya.

Antaranya, Globaltec dikehendaki menyatakan sama ada terdapat sebarang perkembangan korporat berkaitan perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang belum diumumkan sebelum ini yang mungkin menyumbang kepada aktiviti dagangan tersebut, termasuk yang masih di peringkat rundingan atau perbincangan.

Syarikat juga perlu menjelaskan sama ada terdapat sebarang khabar angin atau laporan berkaitan perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang mungkin mendorong aktiviti dagangan tersebut dan dalam perkara itu syarikat dikehendaki mematuhi Perenggan 9.09 dan 9.10 Keperluan Penyenaraian Bursa Securities.

Di samping itu, syarikat turut diminta menyatakan sama ada mengetahui sebarang penjelasan lain yang mungkin menyumbang kepada aktiviti dagangan tersebut, dan sama ada perkara itu mematuhi Keperluan Penyenaraian Bursa Securities, khususnya Perenggan 9.03 bagi obligasi pendedahan segera.

“Kandungan pengumuman tersebut mesti disahkan oleh lembaga pengarah syarikat dan pengumuman itu mesti dikemukakan kepada Bursa Securities dengan segera melalui Bursa LINK,” jelas bursa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan