WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KADAR ZAKAT FITRAH DI PERLIS PADA 2026 DITETAPKAN RM9

11/02/2026 09:21 AM

KANGAR, 11 Feb (Bernama) -- Kadar zakat fitrah bagi Perlis untuk tahun ini ditetapkan kekal satu kadar sahaja, iaitu RM9 bagi setiap individu, jumlah yang sama seperti tahun sebelumnya.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memaklumkan, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan melancarkan penetapan kadar zakat fitrah itu di Istana Siraj Kuala Lumpur pada petang semalam.

Berangkat mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs.

Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut MAIPs, penetapan kadar itu diputuskan setelah mengambil kira harga pasaran semasa bagi beras yang lazimnya menjadi makanan asasi (Ghalib Qut Al-Balad) penduduk di Perlis, selaras tuntutan syarak menetapkan kadar satu gantang Nabawi bagi setiap individu.

"Selain itu, bagi umat Islam yang menunaikan zakat dengan beras, maka kadar zakat fitrah ditetapkan satu gantang Nabawi seorang, iaitu bersamaan 2.6 kilogram," menurut MAIPs dalam satu kenyataan, hari ini.

MAIPs berkata pembayaran boleh dilakukan melalui amil yang dilantik secara rasmi oleh MAIPs atau menggunakan kaedah pembayaran secara dalam talian melalui portal rasmi MAIPs, iaitu www.maips.gov.my atau menerusi digital.maips.gov.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan