WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CAPITAL A CATAT UNTUNG BERSIH RM13.03 BILION SUSULAN PENJUALAN PERNIAGAAN PENERBANGAN

25/02/2026 11:23 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Capital A Bhd mencatat keuntungan bersih RM13.03 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 (TK2025), berbanding kerugian bersih RM501.24 juta pada tahun sebelumnya.

Keputusan kewangan itu mencerminkan penjualan perniagaan penerbangannya, dengan laporan bersegmen yang membezakan antara operasi berterusan dan operasi yang dihentikan.

Hasil juga turut meningkat kepada RM1.99 bilion daripada RM1.70 bilion pada TK2024.

Bagi suku keempat (S4) TK2025, Capital A mencatat keuntungan bersih RM10.20 bilion berbanding kerugian bersih RM1.65 bilion, dipacu oleh keuntungan sekali sahaja sebanyak RM9.7 bilion daripada penjualan perniagaan penerbangannya kepada AirAsia X Bhd.

Hasil pada suku itu meningkat kepada RM769.07 juta daripada RM518.5 juta pada TK2024.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Capital A berkata ia memperoleh keuntungan daripada penjualan perniagaan penerbangannya kepada AirAsia X Bhd, selain prestasi operasi yang lebih baik dalam segmen terasnya.

Syarikat itu berkata ia telah menyediakan bantuan kewangan awal kepada syarikat sekutu dan anak syarikatnya sehingga S4 TK2025, dengan jumlah kira-kira RM10.76 juta.

Bantuan itu termasuk pendahuluan sebanyak US$43,026 (RM174,556) kepada PT Asia Digital Engineering Indonesia melalui Asia Digital Engineering Sdn Bhd dan US$712,928 (RM2.89 juta) kepada ADE Philippines Inc melalui unit yang sama.

Selain itu, sejumlah RM7.69 juta diberikan sebagai pendahuluan kepada BigPay Pte Ltd melalui Move Digital Sdn Bhd antara Oktober dan Disember 2025.

Bantuan kewangan yang diberikan adalah untuk urusan perniagaan biasa dan bagi memudahkan operasi dan hal ehwal kewangan syarikat-syarikat berkenaan.

Capital A berkata keputusan S4 adalah selari dengan corak bermusim industri penerbangan, dengan prestasi lebih kukuh dan pendapatan positif sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM1.01 bilion.

Jumlah itu sedikit lebih rendah daripada RM1.1 bilion yang dicatatkan pada suku sebelumnya kerana operasi yang dihentikan hanya diambil kira selama dua bulan dalam tempoh berkenaan.

Sementara itu, Capital A berkata syarikat-syarikatnya secara keseluruhan mencapai sasaran walaupun menghadapi cabaran operasi sepanjang suku itu.

“Proses pengumpulan dana Teleport yang lebih panjang daripada jangkaan telah melambatkan suntikan modal kerja yang dijangka, manakala operasi Santan terjejas kerana bilangan tempat duduk penerbangan tidak mencapai anggaran, walaupun keadaan ini diimbangi oleh lebih ramai pelanggan mengambil perkhidmatan dan hasil yang lebih tinggi bagi setiap penumpang,” katanya.

Capital A berkata sasaran dalaman syarikat adalah berasaskan kepada persekitaran ekonomi dan politik yang stabil, serta undang-undang dan peraturan kawal selia sedia ada.

“Lembaga pengarah kekal yakin dengan prospek syarikat dan komited untuk memacu prestasi operasi dan kewangan yang kukuh bagi memberikan pulangan jangka panjang yang mampan kepada para pemegang saham kami,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan