WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JIM PERHEBAT OPERASI PENGUATKUASAAN DI BAZAR RAMADAN - KP IMIGRESEN

26/02/2026 03:04 PM

PUTRAJAYA, 26 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) terus mempergiat operasi penguatkuasaan di bazar Ramadan di seluruh negara bagi mengekang penglibatan warga asing yang berniaga atau bekerja secara tidak sah. 

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata setakat ini, sebanyak 61 warga asing telah diperiksa di beberapa bazar sekitar Lembah Klang, dengan 23 daripadanya ditahan kerana disyaki melanggar peraturan imigresen.

“JIM akan pergiat aktiviti-aktiviti pemeriksaan dan fokus kita kepada bazar Ramadan kerana biasanya lokasi ini menjadi tumpuan warga asing ini untuk berniaga. Ada bazar ini diusahakan orang tempatan tetapi dia menggaji warga asing secara tidak sah,” katanya pada sidang media selepas Program Semarak Ramadan JIM di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap warga asing turut dilaksanakan di lokasi tumpuan mereka.

“Saya tidak nafikan ada koloni-koloni kecil yang akan berniaga dalam kalangan mereka (warga tempatan) dan ini juga tidak terlepas daripada pemeriksaan,” katanya.

Mengenai kewujudan warga asing memandu tanpa lesen, Zakaria berkata JIM akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membanteras kegiatan berkenaan. 

“Banyak kes dilaporkan media, orang awam dan sebagainya yang mengatakan warga asing tidak mempunyai lesen memandu lori angkut batu, pasir dan sebagainya.

“Jadi ini memang menjadi perhatian pihak kita bersama dengan JPJ jadi untuk kita kenal pasti mereka dan ambil tindakan.” katanya.

Pada majlis berkenaan, Zakaria bersama pengurusan tertinggi JIM mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai yang hadir mendapatkan perkhidmatan imigresen di Bahagian Pasport JIM di sini serta pegawai JIM yang bertugas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan