WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LEBIH 700 WARGA KUSKOP HADIRI TAUSIYAH KHAS RAMADAN BERSAMA HABIB ALI ZAENAL ABIDIN

26/02/2026 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Lebih 700 warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan agensi di bawahnya menghadiri majlis Tausiyah Khas Ramadan yang disampaikan pendakwah tersohor Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini, hari ini.

KUSKOP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penganjuran program berkenaan memperlihatkan komitmen kementerian dalam memperkukuh aspek spiritual dan pembangunan sahsiah warga kerjanya. 

Pada majlis itu Habib Ali Zaenal Abidin menyampaikan tazkirah bertajuk “Ramadan Melatih Adab” yang menyentuh pelbagai aspek penting dalam kehidupan manusia.

"Tradisi mengimarahkan Ramadan dengan pengisian rohani oleh para alim ulama ini merupakan kesinambungan kepada usaha Menteri KUSKOP Steven Sim Chee Keong yang sebelum ini pernah menganjurkan majlis seumpamanya di Kementerian Sumber Manusia.

"Melalui program sebegini, KUSKOP bukan sahaja memberi penekanan kepada pembangunan keusahawanan dan koperasi, malah terhadap pembangunan sahsiah serta kualiti peribadi setiap individu dalam kementerian," menurut kenyataan itu.

Majlis itu turut dihadiri Steven Sim dan timbalannya Datuk Mohamad Alamin.

Kenyataan itu memaklumkan KUSKOP bertekad untuk terus memainkan peranan penting dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan dan koperasi di Malaysia, serta memastikan setiap langkah diambil berlandaskan nilai-nilai murni yang dipelajari sepanjang bulan Ramadan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan