WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEUNTUNGAN DAN PENDAPATAN TAHUN KEWANGAN 2025 KPJ HEALTHCARE MELONJAK

26/02/2026 11:10 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih KPJ Healthcare Bhd melonjak kepada RM365.92 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 daripada RM353.81 juta yang dicatatkan dalam tahun sebelum ini.

Pendapatan meningkat kepada RM4.25 bilion berbanding RM3.89 bilion setahun sebelumnya, sebahagian besar disumbangkan oleh jumlah lawatan pesakit yang lebih tinggi, katanya melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

KPJ Healthcare mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 1.35 sen sesaham untuk tahun kewangan 2026, berjumlah RM59.2 juta, yang akan dibayar menjelang 17 April 2026.

Bilangan katil operasi naik empat peratus dari tahun ke tahun sejajar dengan pengembangan kapasiti, manakala kes pembedahan menokok 11 peratus dan purata hasil bagi setiap pesakit dalam bertambah sebanyak tujuh peratus, mencerminkan pertumbuhan berterusan dalam aktiviti pesakit diseluruh rangkaian.

KPJ Healthcare kekal fokus untuk memastikan keseimbangan antara kadar penggunaan kemudahan, kualiti klinikal dan disiplin kos dalam persekitaran yang masih berdepan tekanan tenaga kerja serta peningkatan kos dalam sektor penjagaan kesihatan.

“Tahun kewangan 2025 mencerminkan kemajuan yang jelas dalam memperteguh kualiti hasil, kecekapan operasi serta integrasi sistem di seluruh kumpulan. Pertumbuhan yang disokong oleh permintaan pesakit yang berdaya tahan, penambahbaikan campuran kes dan peningkatan keupayaan pakar kini mengubah komposisi perkhidmatan KPJ ke arah perkhidmatan berakuiti tinggi yang menjana nilai lebih besar,” kata Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Chin Keat Chyuan melalui satu kenyataan berasingan hari ini.

Katanya lagi, fasa seterusnya pertumbuhan KPJ Healthcare akan didorong oleh penumpuan kecerdasan buatan, genomik dan penjagaan berasaskan nilai dalam model operasi yang bersatu.

Ia kekal optimistik dengan berhati-hati tentang prospek 2026nya, disokong oleh program pengoptimuman aset dan pengembangan kapasiti yang berterusan serta tumpuan bagi meningkatkan kecekapan operasi

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan