WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BARISAN SKUAD BAHARU UNTUK PECUT BERPASUKAN DI ACC 2026 - BEASLEY

27/02/2026 02:51 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Kem berbasikal negara akan dibarisi skuad baharu bagi acara pecut berpasukan lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) yang akan berlangsung di Tagaytay City Velodrome, bandar Tagaytay di Filipina dari 25 hingga 31 Mac ini.

Pengarah teknikal skuad berbasikal trek negara John Beasley berkata barisan jurulatih telah melakukan pemilihan atlet yang bersedia untuk memburu pingat pada kejohanan berprestij itu. 

“Ya, kami telah mengadakan pemilihan untuk skuad negara. Akan ada skuad baharu dalam acara pecut berpasukan pada ACC dan mungkin juga semasa Piala Dunia.

"Persaingan sihat dengan muka baharu mencabar pelumba yang ditetapkan, sekali gus menunjukkan pasukan berada dalam keadaan yang baik. Saya tidak akan dedahkan nama mereka, tetapi anda akan melihat muka baharu," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) 2026 di Majlis Sukan Negara di sini, semalam. 

Dalam pada itu, Beasley berkata jaguh pecut negara Datuk Mohamd Azizulhasni Awang antara yang pasti akan berada dalam barisan pelumba itu sambil dibantu oleh pelumba muda.

Pada ACC 2025, pasukan Malaysia yang dibarisi oleh Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis dan Mohd Akmal Nazimi Jusena meraih pingat gangsa.

Dalam pada itu, Beasley berkata Muhammad Shah Firdaus Sahrom dilihat semakin pulih selepas menjalani pembedahan lutut akibat kecederaan yang dialaminya sebelum ini, namun masih terdapat sedikit pengecutan otot di bahagian sekeliling lutut yang memerlukan masa untuk kembali ke tahap terbaik.

“Beliau telah pulih sepenuhnya … keadaanya kini kira-kira 85 peratus untuk kembali kepada prestasi asal. Beliau mungkin tidak bersedia untuk Piala Dunia di Malaysia, tetapi akan kembali untuk perlawanan lebih besar hujung tahun ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan