KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Tune Protect Group Bhd menyaksikan keuntungan bersihnya melonjak sebanyak RM26.45 juta pada tahun kewangan 2025 berbanding RM572,000 yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.
Pencapaian ini telah dipacu oleh peningkatan dalam hasil perkhidmatan insurans sebanyak RM30.9 juta, pendapatan pelaburan yang direalisasi dan tidak direalisasi yang lebih tinggi berjumlah RM3.2 juta, bahagian kerugian yang lebih rendah daripada syarikat bersekutu sebanyak RM4.6 juta dan pengurangan RM1.9 juta dalam perbelanjaan operasi lain bersih.
Bagaimanapun, Tune Protect berkata pendapatannya susut kepada RM357.49 juta pada tahun kewangan berkenaan berbanding RM389.19 juta pada tahun kewangan 2024.
"Penurunan itu disebabkan oleh pengurangan sebanyak RM39.4 juta dalam segmen insurans am, sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan RM7.9 juta dalam segmen insurans semula am," katanya melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Pada suku keempat tahun kewangan 2025, syarikat insurans itu merekodkan untung bersih yang lebih rendah sebanyak RM5.72 juta daripada RM8.01 juta semasa suku yang sama tahun kewangan 2024 berikutan pengiktirafan aset cukai tertunda pada suku keempat tahun kewangan 2024, manakala hasil susut kepada RM94.90 juta dalam suku keempat tahun kewangan 2926 berbanding RM98.95 juta yang dicatatkan pada suku keempat tahun kewangan 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, How Kim Lian ketika mengulas mengenai prestasi keseluruhan dalam tahun kewangan 2025 berkata pertumbuhan keuntungan lebih 100 peratus dari tahun ke tahun telah disokong oleh hasil perkhidmatan insurans bersih yang kukuh.
"Prestasi ini turut disangga dengan pendapatan pelaburan yang lebih tinggi selepas ia menggubah strategi untuk mengalihkan pelaburan unit amanah daripada dana aset berisiko rendah kepada dana bon korporat.
"Kami juga berjaya menurunkan jumlah pendapatan dan perbelanjaan lain sejajar dengan inisiatif pengoptimuman kos berterusan kami. Tambahan pula, bahagian hasil daripada syarikat bersekutunya di Thailand turut mencerminkan peningkatan ketara," katanya dalam satu kenyataan.
Mengenai prospek, Tune Protect menyasarkan untuk mencapai lebih 20 peratus pertumbuhan dengan memkukuhkan kehadirannya dalam segmen pilihan seperti perjalanan dan kebakaran.
Katanya, visi itu akan disokong menerusi pengukuhan cadangan nilai unik kumpulan itu melalui pembezaan ekosistem, pengembangan kepakaran khusus industri selain mempergiatkan integrasi perkongsian, terutamanya dalam insurans terbenam.
Memasuki tahun baharu, syarikat yakin bahawa ia berada pada kedudukan yang baik untuk membina momentumnya, setelah mencapai enam suku tahunan yang menguntungkan sehingga membolehkan kumpulan itu diposisikan dalam kedudukan yang ideal bagi pertumbuhan dan keuntungan yang mampan.
“Pertumbuhan dalam segmen pelancongan dijangka kekal teguh, disokong oleh kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, yang ditetapkan untuk meningkatkan pelancongan masuk, manakala kekuatan ringgit dijangka menggalakkan perjalanan keluar.
“Kedua-dua trend ini dijangka memacu permintaan berterusan untuk perlindungan Kemalangan Peribadi, mengukuhkan keyakinan kumpulan dalam mengekalkan prestasi positif ketika ia melangkah ke fasa seterusnya di sepanjang perjalanan strategik kumpulan,” katanya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial