WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISRAEL KETATKAN AKSES KE MASJID AL-AQSA JUMAAT KEDUA RAMADAN

27/02/2026 11:58 PM

RAMALLAH (Palestin), 27 Feb (Bernama-Anadolu) --Tentera Israel mengerahkan pasukan besar di seluruh Tebing Barat yang diduduki pada Jumaat, terutamanya di sekatan jalan raya menuju Baitulmuqaddis, mengetatkan sekatan terhadap rakyat Palestin yang ingin menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa untuk Jumaat kedua di bulan Ramadan.

Menurut laporan Anadolu Ajansi, ribuan rakyat Palestin berkumpul sebelum subuh di sekatan tentera Qalandia di utara Baitulmuqaddis untuk cuba menuju ke bandar suci itu bagi menunaikan solat.

Langkah ketat Israel menghalang puluhan orang daripada memasuki kawasan itu dengan tentera menyatakan kegagalan memenuhi syarat yang ditetapkan, menurut jemaah yang berkata mereka “diarahkan berpatah balik walaupun tiba awal.”

Israel meluluskan pelan pada permulaan Ramadan yang mengehadkan kemasukan kepada 10,000 jemaah Palestin untuk solat Jumaat sepanjang bulan suci, berdasarkan cadangan keselamatan.

Di bawah pelan itu, rakyat Palestin perlu mendapatkan permit harian khas untuk setiap solat. Kemasukan dihadkan kepada lelaki berumur 55 tahun ke atas, wanita 50 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah 12 tahun, yang ditemani oleh ahli keluarga terdekat.

Tentera Israel menyatakan dalam satu kenyataan yang semua permit memerlukan kelulusan keselamatan terlebih dahulu. Jemaah juga perlu melengkapkan prosedur pengesahan digital di sekatan jalan raya ketika kembali ke Tebing Barat.

Beberapa jemaah menceritakan pengalaman kemasukan mereka ditolak walaupun mempunyai permit, termasuk Mariam Ramadhan 54, dan Joudat Jaradat, 65, yang masing-masing dihalang masuk tanpa penjelasan.

Ramadan setiap tahun menarik ratusan ribu rakyat Palestin dari Tebing Barat ke Masjid Al-Aqsa, mewujudkan suasana meriah di pasar dan kawasan sekitar yang sibuk di Baitulmuqaddis.

Sejak serangan ke atas Gaza bermula pada 8 Okt 2023 dan berlanjutan selama dua tahun, pihak berkuasa Israel mengetatkan sekatan pergerakan di sekatan tentera di bandar suci itu.

Dalam dua tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa Israel hanya membenarkan kemasukan terhad rakyat Palestin selepas memperoleh permit yang dikeluarkan tentera, yang sukar diperoleh.

Rakyat Palestin menganggap Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota negara masa depan mereka, manakala Israel menganggap bandar itu, termasuk sektor timur dan baratnya, sebagai ibu kotanya.

--BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan