PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneruskan siasatan lanjut di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] berhubung individu yang memuat naik gambar memijak al-Quran di platform Threads.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu diambil setelah siasatan polis terhadap individu yang menggunakan nama akaun "ryandaselva" memuat naik kandungan terbabit.
"Kandungan berkenaan dikenal pasti mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam serta berpotensi mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian awam," menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan bahawa keterangan individu tersebut telah diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang semalam untuk melengkapkan siasatan.
"Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda maksimum hingga RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali," menurut kenyataan itu.
MCMC turut mengingatkan orang ramai supaya menggunakan platform media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan kandungan yang mengganggu ketenteraman awam, menyentuh sensitiviti agama atau menjejaskan perpaduan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial