WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RAMADAN BANTU PERBAIKI KESIHATAN USUS, ELAK MAKAN BERLEBIHAN - PAKAR SMC

27/02/2026 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Ramadan boleh dimanfaatkan sebagai tempoh untuk memperbaiki kesihatan usus, sekiranya tidak disertai tabiat makan berlebihan atau pengabaian pengambilan air serta serat.

Pakar Perubatan Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Sunway (SMC) Bandar Sunway Dr Sheikh Anwar Abdullah berkata ketika berpuasa, tubuh menghasilkan kurang asid gastrik sekali gus memberi peluang kepada sistem pencernaan untuk pulih dan mengurangkan keradangan.

Beliau berkata peningkatan masalah penghadaman ketika Ramadan seperti perut kembung, pedih ulu hati dan sembelit dipercayai berpunca daripada pengambilan makanan berat, pedas atau berlemak, kekurangan pengambilan air serta jarak masa yang panjang antara waktu makan.

“Penyumbang utama biasanya termasuk makan berlebihan ketika berbuka puasa, pengambilan makanan bergoreng atau pedas, kurang minum air serta serat. Corak tidur yang berubah dan tenaga yang berkurang juga menyebabkan ramai kurang aktif yang akan memperlahankan proses penghadaman serta memburukkan sembelit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Sheikh Anwar menekankan kepentingan sahur dengan menu seimbang merangkumi karbohidrat kompleks seperti oat atau beras perang, sumber protein seperti telur, ikan atau tauhu serta buah-buahan yang mempunyai kandungan air tinggi antaranya tembikai dan timun.

Bagi individu yang tidak mempunyai intoleransi laktosa, beliau menyarankan pengambilan yogurt kerana kandungan probiotiknya, selain mengelak makanan pedas dan berminyak yang boleh mengganggu lapisan perut serta meningkatkan risiko pedih ulu hati.

Beliau turut menyarankan agar berbuka puasa dengan air kosong dan beberapa biji kurma terlebih dahulu sebelum berhenti seketika, misalnya untuk menunaikan solat maghrib sebelum menikmati hidangan utama.

“Pastikan hidangan berbuka seimbang dengan karbohidrat kompleks, protein dan lemak sihat,” katanya.

Selain itu, beliau menasihatkan supaya menjarakkan dua hingga tiga jam antara waktu makan terakhir dan waktu tidur bagi mengurangkan risiko pedih ulu hati atau masalah penghadaman lain.

Bagi mengelak sembelit, Dr Sheikh Anwar menyarankan pengambilan sekurang-kurangnya dua hingga 2.5 liter air antara waktu berbuka dan sahur.

“Minum secara perlahan dan elakkan mengambil air dalam jumlah banyak sekali gus. Sertakan buah-buahan tinggi kandungan air dan hadkan pengambilan kafein yang boleh menyebabkan dehidrasi,” katanya.

Pesakit yang mempunyai kolitis ulseratif, ulser duodenum, pendarahan gastrik atau sirosis hati sederhana hingga teruk berisiko mengalami komplikasi dan perlu mendapatkan pemantauan serta nasihat profesional kesihatan sebelum berpuasa.

“Ambil ubat gastrik kira-kira 30 minit sebelum sahur untuk kesan maksimum. Sekiranya mengalami sakit perut berterusan, muntah, cirit-birit atau pendarahan, segera dapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2024 menunjukkan hanya 17 peratus dewasa dan 13 peratus remaja di Malaysia mencapai pengambilan buah-buahan harian yang disyorkan, manakala 12 peratus dewasa dan lima peratus remaja mengambil sayur-sayuran secukupnya.

“Selebihnya berada di bawah tahap pengambilan serat harian yang disyorkan. Kekurangan serat boleh menyebabkan sembelit dan perut kembung menjadi lebih ketara semasa Ramadan.

“Serat penting untuk kelancaran sistem penghadaman selain membantu menurunkan kolesterol, menstabilkan paras gula darah dan memberi rasa kenyang lebih lama,” katanya.

Dr Sheikh Anwar berkata pengambilan serat perlu ditingkatkan secara berperingkat melalui buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan bijirin penuh bagi mengelakkan kembung serta ketidakselesaan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan