WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MELAYU SRI LANKA HIDUPKAN TRADISI ISLAM SEPANJANG RAMADAN

27/02/2026 06:23 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 27 Feb (Bernama) -- Masyarakat Melayu di Sri Lanka terus memainkan peranan penting dalam kepelbagaian budaya negara itu, memastikan amalan agama dan ikatan sesama kaum kekal teguh dan dipamerkan sepanjang Ramadan ini.

Mereka menggabungkan pegangan agama dengan amalan budaya yang dipelihara selama ini sekali gus mengetengahkan identiti unik Melayu di negara Asia Selatan itu.

Lebih 40,000 orang Melayu berkembang sejak turun-temurun sebagai sebahagian rakyat berbilang etnik dan agama dalam populasi Sri Lanka berjumlah kira-kira 23 juta.

“Meskipun kami memelihara kepercayaan Islam dan warisan Melayu kami, kami juga telah menerima identiti Sri Lanka yang lebih luas dengan rasa hormat dan harmoni.

“Pendidikan, perkhidmatan awam, disiplin dan komitmen untuk hidup bersama telah menjadi teras pada perjalanan kami," kata Presiden Persatuan Melayu Sri Lanka Sabrina Jayah kepada Bernama.

Menurut sejarah, asal-usul masyarakat Melayu Sri Lanka bermula pada pertengahan abad ke-17 dengan ketibaan paling awal bermula sekitar 1650-an semasa pemerintahan Belanda.

Persatuan Melayu Sri Lanka telah ditubuhkan pada 1922 menjadikannya salah satu institusi tertua di pulau itu. Kelab Kriket Melayu Colombo pula diasaskan pada 1872.

Sabrina meraih perhatian apabila muncul sebagai wanita pertama menerajui persatuan itu tahun lepas. 

Kehadiran masyarakat Melayu menjadi lebih ketara pada bulan Ramadan, apabila kekayaan budaya dan tradisi mereka daripada masakan sehinggalah pakaian, mencuri tumpuan umum.

Solat berjemaah, bacaan al-Quran, khidmat masyarakat, puasa, iftar dan mengeratkan silaturahim dengan anggota masyarakat lain menjadi keutamaan bulan mulia ini, kata Sabrina.

“Menerusi Persatuan Melayu Sri Lanka, kami mengumpul sumbangan zakat daripada penderma yang murah hati dan mengagihkannya kepada keluarga yang layak dalam bentuk baucar, supaya mereka boleh membeli keperluan makanan,” kata Sabrina yang juga Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Moot Manor Pvt Ltd.

Negara pulau kecil Sri Lanka mempunyai landskap etnik yang rencam termasuk kumpulan majoriti Sinhala serta Tamil Sri Lanka, Tamil India, Moor dan Burghers.

“Salam Ramadan 2026” iaitu acara makanan dan kebudayaan Muslim akan diadakan pada 27 dan 28 Feb serta 1 Mac, yang mempamerkan warisan budaya komuniti tersebut.

“Pasar Malam” adalah satu lagi acara yang diadakan setiap tahun, mempamerkan warisan budaya Melayu, daripada batik, baju kurung, silat, masakan tradisional dan tarian.

Bagaimanapun menurut Sabrina penggunaan bahasa Melayu semakin merosot dalam kalangan generasi muda memandangkan ramai yang cenderung bertutur dalam bahasa Inggeris.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan