KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan rakan niaganya dijangka mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) bagi Fasa 2 projek LNG Canada dalam tahun ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.
Beliau berkata terdapat minat yang mendalam untuk memajukan fasa kedua projek itu bersama-sama Shell dan Mitsubishi.
“FID bagi projek ini dijangka dicapai dalam tahun ini. Kalangan rakan niaga kini sudah berada dalam keadaan bersedia untuk fasa kedua itu,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi kewangan Petronas bagi tahun berakhir 31 Dis, 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata LNG Canada menyalurkan gas dengan pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang lebih rendah iaitu kira-kira 35 peratus berbanding banyak kemudahan lain di peringkat global.
Tengku Muhammad Taufik berkata pembangunan itu merupakan cara untuk nyah karbon sistem tenaga dan Kanada berada dalam kedudukan unik untuk menyokong peralihan tersebut.
Naib Presiden Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Gas dan Maritim Petronas, Datuk Adif Zulkifli berkata Fasa 1 kini beroperasi dengan kapasiti penuh memandangkan pasukan memberi tumpuan kepada penstabilan operasi.
“Pada masa sama, kami sedang bersedia untuk memuktamadkan FID bagi Fasa 2. Semua rakan niaga sedang menetapkan aspek kejuruteraan dan kos, dan kami berharap selewat-lewatnya hujung tahun ini, kami akan dapat membuat keputusan,” katanya.
Projek LNG Canada merupakan sebahagian daripada strategi Petronas untuk mengembangkan pertumbuhan huluan antarabangsa kepada kira-kira 60 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial