WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN PERUNTUK RM9 JUTA NAIK TARAF LIMBUNGAN PENGKALAN ARANG

27/02/2026 09:03 PM

KUALA NERUS, 27 Feb (Bernama) -- Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperuntukkan RM9 juta bagi melaksanakan kerja menaik taraf serta penambahbaikan limbungan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Pengkalan Arang, Kuala Terengganu dalam usaha memperkukuh ekosistem industri perikanan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata projek berimpak tinggi di bawah Pelan Strategik LKIM 2026-2030 itu bakal mentransformasikan keupayaan limbungan tempatan untuk menyokong bot nelayan bersaiz hingga 200 tan daftar kasar (GRT).

"Sebagai permulaan, sebanyak RM500,000 telah diperuntuk tahun ini bagi kerja-kerja awalan termasuk penyiasatan tapak (SI), kerja ukur topografi dan batimetri.

"Limbungan atau slipway ini adalah nadi kepada pengoperasian nelayan. Apabila bot rosak, pintu rezeki seolah-olah tertutup. Dengan kemudahan yang lebih moden dan cekap, tempoh penyelenggaraan bot dapat dipendekkan sekali gus memastikan kelangsungan bekalan protein negara dan menjamin pendapatan nelayan kita tidak terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan AgroMADANI dan Iftar Bersama Nelayan Kuala Terengganu Utara di sini hari ini.

Mohamad berkata kemudahan limbungan yang dinaik taraf itu juga akan menjadi platform latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan lebih ramai pakar anak tempatan dalam kemahiran penyelenggaraan bot, kimpalan, serta teknologi perkapalan.

Selain pembangunan infrastruktur besar, beliau berkata KPKM menerusi LKIM turut menekankan agenda kebajikan menerusi penyerahan pelbagai bantuan strategik bagi tahun ini iaitu Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN).

"Peruntukan berjumlah RM896,000 di Terengganu melibatkan 28 unit baik pulih dan empat unit bina baharu bagi memastikan keluarga nelayan memiliki kediaman yang selesa dan selamat," katanya.

Bantuan lain, katanya ialah Touchpoint Produktiviti iaitu penyerahan peralatan penangkapan ikan bernilai hingga RM15,000 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan RM225,000 khususnya terhadap nelayan Terengganu dan Pemerkasaan Ekonomi Kumpulan Wanita Nelayan (KUNITA) atau Kumpulan Belia Nelayan (KUBENA) menerusi peruntukan RM50,000 bagi meningkatkan daya saing usahawan wanita serta belia nelayan dalam memperkasakan aktiviti ekonomi hiliran.

Pada majlis itu, Mohamad turut menyampaikan Zakat Wakalah Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan Sijil Tekong Latihan kepada peserta Program Pembangunan Dan Pencarian Tekong Tempatan (PPTT) LKIM Terengganu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan