WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM ANWAR RAI PENGAMAL MEDIA PADA MAJLIS BERBUKA PUASA

27/02/2026 10:51 PM

PUTRAJAYA, 27 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyantuni pengamal media dan pempengaruh dalam Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Penggiat Media dan Pempengaruh di Kompleks Seri Perdana di sini.

Anwar, yang lengkap berpakaian baju Melayu biru, meluangkan masa beramah mesra dengan lebih 350 tetamu yang hadir selain mendengar tazkirah Ramadan bertajuk Ramadan: Fastabiqul Khairat (Berlumba Mengejar Kebaikan) yang disampaikan Al-Fadhil Ustaz Harryanto Rizal Rokman.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan timbalannya Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Pada majlis itu, 10 pengamal media termasuk veteran yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan hidup menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA bagi membantu meringankan beban mereka menjelang Aidilfitri.

Sumbangan itu disampaikan oleh Fahmi sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan dedikasi pengamal media dalam menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan wacana negara.

Menerima sumbangan pada majlis itu ialah Ahmad Muliady Ab Majid daripada Bernama, Norlee Mohd Sapari (Sinar Harian), Nasri Abdullah (Berita Harian), Yusman Yunus (Utusan), Md Sharif Haron (New Straits Times), Shukri Mohamad (Media Selangor), Muhammad Fauzi Mohamed (Sumber Kini), Shaukei Kahar (RTM), Nurfarahin Jamsari (Media Prima) dan Shahril Azman Mohd Zain (Media Mulia).

Sejak diperkenal pada April 2023, Tabung Kasih@HAWANA sudah memanfaatkan seramai 658 pengamal media di seluruh negara, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memelihara kebajikan komuniti media khususnya mereka yang memerlukan bantuan.

Inisiatif itu dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Bernama dan dilancarkan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan