WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRESIDEN KOREA SELATAN JUAL RUMAH PERIBADI DI BAWAH HARGA PASARAN

27/02/2026 10:52 PM

SEOUL, 27 Feb (Bernama-Yonhap) -- Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung meletakkan kediaman peribadinya untuk dijual pada harga di bawah pasaran, menurut pejabat presiden, Cheong Wa Dae, pada Jumaat, sebagai tanda kesediaan untuk menstabilkan pasaran hartanah, lapor Agensi Berita Yonhap.

Pangsapuri peribadi di Bandar Seongnam, selatan Seoul, yang dimiliki bersama isteri beliau, Kim Hea Kyung disenaraikan untuk jualan awal hari ini, menurut Jurucakap Presiden Kang Yu Jung dalam satu kenyataan.

“Walaupun beliau memiliki sebuah rumah untuk tujuan kediaman, langkah ini dilihat sebagai usaha untuk menunjukkan kepada rakyat komitmen beliau dalam menormalkan pasaran hartanah,” kata Kang dalam kenyataan itu.

Langkah dibuat ketika Lee menggesa pemilik yang mempunyai lebih daripada satu rumah supaya menjual hartanah mereka menjelang rancangan kerajaan untuk menamatkan penggantungan sementara cukai keuntungan modal yang tinggi pada bulan Mei.

Lee turut memberi isyarat yang kerajaan akan meneruskan langkah bagi mengurangkan insentif pemilikan rumah untuk tujuan spekulasi, termasuk dalam kalangan pemilik rumah tunggal yang memegang hartanah bagi tujuan pelaburan.

Lee kini menetap di kediaman rasmi di Hannam-dong, pusat Seoul , sementara kerja pengubahsuaian dijalankan di kediaman presiden dalam Kompleks Cheong Wa Dae.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan