WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RIUH RAYA BAIK-BAIK 2026 PERKUKUH PRODUK, REKAAN TEMPATAN MENJELANG AIDILFITRI - FAHMI

28/02/2026 12:13 AM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Program RIUH Raya Baik-Baik 2026 yang bermula dari 25 Feb hingga 1 Mac ini menjadi platform memperkukuh produk dan rekaan tempatan menjelang Aidilfitri, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata program itu menghimpunkan 73 jenama termasuk lebih 20 yang menyertai RIUH buat kali pertama, dengan pelbagai pengisian melibatkan produk pakaian, makanan dan minuman, persembahan serta bengkel kraf tangan.

“…kali ini ada lebih 20 jenama yang diperagakan menyertai RIUH untuk kali pertama, jadi bukan semua sama tetapi saya telah minta supaya pasukan RIUH mengenal pasti jenama-jenama baharu untuk kita bawa ke khalayak umum.

“Saya sangat berbangga kerana semua produk yang ditunjukkan adalah hasil idea kreatif anak-anak Malaysia,” katanya selepas melawat Program RIUH Raya Baik-Baik 2026 di Raintree Plaza @TRX di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nu-rul Afida Kamaludin dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures Zainol Haqim Zainol Rashid.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata penganjuran program oleh MyCreative Ventures itu membuktikan komitmen berterusan Kementerian Komunikasi dalam mengangkat idea kreatif anak tempatan ke platform arus perdana.

Beliau berkata program itu turut menyasarkan kehadiran 60,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjurannya terutama pada hujung minggu.

“… kita jangkakan biasanya hari Sabtu dan Ahad memang insya-Allah akan ramai... jadi, kita jemput semua untuk datang... ada macam-macam yang boleh kita saksikan dan juga beli... jadi, siapa yang belum beli baju raya ataupun nak macam-macam produk boleh datang ke sini,” katanya.

RIUH Raya Baik-Baik 2026, yang bertemakan “Kampung Kita” berlangsung selama 12 jam setiap hari, dari 3 petang hingga 3 pagi sekali gus memberi peluang kepada pengunjung membeli-belah dalam suasana lebih santai pada waktu malam.

Pelbagai aktiviti diatur sepanjang program berkenaan termasuk bengkel kreatif, persembahan artis selain menghasilkan kad raya, menganyam ketupat, mempelajari asas jahitan dan permainan tradisional secara percuma.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan