WILAYAH - SELATAN > BERITA

ATM TELITI, KAJI SEMULA MODUL LATIHAN PALAPES ELAK INSIDEN TIDAK DIINGINI BERULANG

28/02/2026 08:45 PM

KOTA TINGGI, 28 Feb (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang meneliti modul serta prosedur latihan sedia ada, khususnya membabitkan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) bagi memastikan sebarang kelemahan dapat dikenal pasti dan ditambah baik susulan insiden kematian seorang kadet tahun lepas.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata semakan itu merangkumi penelitian terhadap peraturan, prosedur serta bentuk aktiviti latihan termasuk yang berunsur fizikal intensif seperti latihan menembak, latihan tempur, latihan fizikal dan kawad.

Beliau berkata walaupun latihan ketenteraan bersifat tegas dan mencabar di semua peringkat sama ada pelapis, rekrut, kadet dan perajurit, setiap pelaksanaan tetap tertakluk kepada prosedur dan garis panduan yang telah ditetapkan.

“Proses pembelajaran dan latihan tentera memang agak keras, namun semuanya berdasarkan prosedur, apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan.

“Jika berlaku pelanggaran terhadap garis panduan atau tindakan melampaui prosedur, kita mempunyai proses dalaman untuk mengambil tindakan,” katanya ketika ditemui selepas program Lawatan Panglima Angkatan Tentera ke Pos Tanjung Sepang di sini hari ini.

Malek Razak berkata penilaian semula itu turut mengambil kira keperluan menambah baik modul latihan PALAPES bagi memastikan tiada unsur keterlaluan atau perlakuan tidak wajar berlaku sepanjang latihan.

Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan ATM untuk memastikan latihan dilaksanakan secara profesional, berdisiplin dan selamat tanpa menjejaskan objektif pembentukan ketahanan fizikal serta mental anggota.

Semalam, tiga jurulatih PALAPES yang juga pegawai ATM didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang Pegawai Kadet PALAPES Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin, 22, Julai tahun lepas.

Malek Razak berkata ATM akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa serta memastikan kebajikan dan hak anggota terlibat, termasuk dari segi persediaan menghadapi proses perundangan, terus dipelihara selaras dengan prinsip keadilan dan tadbir urus institusi.

Syamsul Haris meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai 2025 selepas menjalani latihan di Ulu Tiram sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.

Pada 26 Ogos 2025, Mahkamah Tinggi memerintahkan kubur pelatih PAPLAPES  itu digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan dalam tempoh 14 hari selepas jasad dikeluarkan.

Bedah siasat kedua dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada 30 Ogos dan jenazah dikebumikan semula pada hari sama.

Pada 2 Dis 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kes kematian Syamsul Haris diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia sebelum pertuduhan difailkan di mahkamah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan