WILAYAH - TENGAH > BERITA

MINDEF JAMIN KEWIBAWAAN ATM TERUS DIJAGA SEBAGAI INSTITUSI PALING DIYAKINI

26/02/2026 02:24 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan komitmen untuk terus memelihara kewibawaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai institusi paling diyakini negara menerusi pembersihan menyeluruh sebarang unsur kecurangan dan integriti.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata apa-apa isu yang melibatkan kedudukan ATM, akan memberikan kesan kepada negara, justeru pihaknya mengambil langkah kawalan kerosakan dengan segera bagi memastikan kredibiliti ATM tidak terjejas.

“Semasa perutusan tahun baharu, saya telah tegaskan pendirian dan komitmen MINDEF dan ATM untuk kita bersihkan nama baik dan mengembalikan semula kewibawaan ATM. 

“Kita tekad membanteras segala unsur kegelinciran dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membersihkan nama,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Sebagai langkah pemulihan tata kelola, Mohamed Khaled berkata kementerian mengambil langkah penambahbaikan sistem perolehan dan pelaksanaan, termasuk merombak proses perolehan aset yang lebih telus serta pemerkasaan melalui pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan risiko manipulasi.

Selain itu, Mohamed Khaled sekali lagi mengulangi jaminannya bahawa arahan pembekuan perolehan tidak menjejaskan tahap kesiapsiagaan dan operasi ATM kerana langkah tersebut bersifat sementara dan telah pun disusuli dengan garis panduan baharu oleh Kementerian Kewangan (MOF) dalam tempoh kurang tiga minggu.

Pada 16 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua keputusan perolehan ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkait dengan isu rasuah dibekukan sementara sehingga proses perolehan dipatuhi sepenuhnya, susulan kontroversi rasuah dan salah guna kuasa membabitkan beberapa bekas pimpinan tertinggi dalam ATM.

Mohamed Khaled berkata antara syarat kerangka tadbir urus baharu yang ditetapkan MOF ialah elemen semak dan imbang rentas kementerian, proses penilaian teknikal, dan kewangan diperkemas dengan komposisi ahli yang lebih kompeten dan tidak terhad kepada agensi pengguna sahaja.

Beliau berkata perolehan melibatkan produk pengilang luar negara (OEM) wajib dilaksanakan melalui tender terbuka antarabangsa. 

“MOF juga menetapkan bahawa perolehan secara sebut harga bagi RM300,000 hingga RM500,000 untuk bekalan dan perkhidmatan serta RM300,000 hingga RM3 juta bagi kerja hendaklah dimuktamadkan pada peringkat lembaga perolehan yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan