Oleh Rohani Ibrahim
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Rakyat Malaysia di tanah air menzahirkan doa buat warganegara Malaysia di Timur Tengah menerusi platform Threads susulan peningkatan serangan udara dan ketegangan di rantau itu pada Sabtu.
Pengguna Threads addyyyy dalam hantarannya mengingatkan rakyat Malaysia untuk kekal selamat, mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu dan “terus memaklumkan Malaysia mengenai situasi di sana”.
“Kepada semua rakyat Malaysia di Timur Tengah, ketahuilah bahawa kami di tanah air mendoakan keselamatan anda. Anda sentiasa dalam ingatan dan doa kami,” katanya.
Seorang lagi pengguna Threads, jmhaffiz dalam hantarannya berkata: “Semoga Allah melindungi rakyat Malaysia di Timur Tengah.”
Pengguna lain, farah_azhar berkata rakyat Malaysia di Timur Tengah supaya kekal selamat.
“Kami doakan keselamatan anda,” tambahnya.
Pengguna Threads, fakhiraali berkata penerbangan pulang dari Madinah ke Kuala Lumpur telah dibatalkan susulan krisis di Timur Tengah.
“Sesiapa yang membaca hantaran ini, mohon doakan kami. Berharap dapat pulang secepat mungkin,” menurut beliau di Threads.
Pengguna e.f.k_thurs pula memuat naik hantaran, kekal selamat kepada semua rakyat Malaysia di Timur Tengah termasuk saya sendiri.
“Saya berharap semua rakan sekerja yang tidak dapat menaiki penerbangan dan mereka yang sepatutnya kembali ke Doha tetapi penerbangan dilencongkan, akan selamat di mana jua anda berada,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Israel menyerang beberapa bandar di Iran termasuk Tehran, Isfahan dan Qom. Iran bertindak balas dengan menyerang kepentingan Amerika Syarikat di beberapa negara di Timur Tengah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial